.:: ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG
KASUT RODA ::.
Dengan lafaz Bismillah,
Assalamualaikum wbt,
Rasa bosan mula menjelma dalam diri. Malam kian larut, namun mata masih
tidak mahu dipejam. Mungkin ini adalah peringatan daripada-Nya mengenai akibat
tidur berlebihan di siang hari, mungkin juga nikmat untuk beribadah di malam
hari. Dan mungkin kerana kaca mata iman malam itu agak-agak kabur, maka sukar
untuk membezakan yang mana satu yang betul.
Pen diletak. Buku teks Pathology yang ditelaah juga ditutup. Keluhan
kecil dilepaskan selepas penat menelaah ilmu perubatan hampir dua jam. Mata
pula beralih kepada computer riba berjenama Samsung di meja kecil di hadapan
lantai. Laman web sosial Facebook dibuka dan tidak disentuh sejak mula
menelaah. Diri ini terus mendekati komputer riba itu untuk melihat apa yang
terbaru dan notifikasi terbaru yang dapat.
Tiada.
Tiada melainkan permintaan untuk permainan yang tak pernah diketahui
oleh rakan-rakan. Sekali lagi melepaskan keluhan kecil, kali ini tanda diri ini
mula dilanda kebosanan yang teramat. Dibuka pula tab baru lalu
membuka laman web YouTube. 'Kis-My-Ft2' yang kutaip. Mengapa? Entahlah,
tiba-tiba rasa mahu membukanya. Tiba-tiba nama artis kumpulan Jepun itu yang
dibukanya, bukan Nouman Ali Khan, bukan Sheikh Yusuf, bukan Mishary.
Adakah futur mula mengetuk pintu hati? Oh tidak
mungkin! Nauzubillah min zalik!
Namun jari ini masih tidak berhenti untuk melihat dan memilih salah satu
video mereka untuk ditonton. Apakah yang cuba dilakukan ini?
Seusai sahaja melihat video itu, diri ini terdiam. Hati ini mula
memberontak, akal pula mula ligat berfikir. Terus ditutup laman web itu dan
dibuka Microsoft Word 2010. Dengan lafaz Bismillah, satu demi satu huruf mula
ditaip.
'ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT
RODA…'
HANYA
BERGEMBIRA KERANA MENJUMPAI KASUT RODA
Mata tidak terlepas pandang dari
menonton video itu. Kekaguman timbul. Ya, kekaguman. Apabila melihat mereka
yang muda dan mempunyai skil untuk menyanyi,menari dan menggunakan kasut roda
sebagai aset mereka. Kagum dengan kesungguhan mereka yang akhirnya mereka mampu
untuk berjaya menjadi seorang bintang. Tapi lebih dari itu, kagum dengan konsep
video mereka.
Erk?
Eheh.
Ya, konsep video mereka.
Mereka, yang kebosanan di dalam
sebuah kapal laut. Kapal laut penuh dengan harta karun. Penuh dengan kemewahan.
Kerja mereka untuk mencari kegembiraan dengan harta karun itu. Namun hampa.
Masih tidak dijumpai kegembiraan itu walaupun dengan harta karun yang
menggunung, bahkan menyebabkan pergaduhan antara mereka. Saban hari, mencari
dan mendapat harta karun. Bahkan apabila mereka sedang memancing pun mereka
mendapat harta karun, namun itu hanya menambahkan kesedihan mereka.
Sehinggalah…
Jeng jeng jeng!
Mereka berjaya memancing
sepasang kasut roda. Yang membuat mereka sangat gembira. Ya, sangat gembira!
Kasut roda yang menjadi aset mereka! Ikon mereka dan signature mereka.
Dan akhirnya mereka mendapat
kegembiraan yang mereka kecapi!
Angkat kening mata.
Masih tak faham?
Kerana apa yang konsep mereka
gunakan ini sebenarnya ada kaitan dengan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.
HIDUP INI
HANYA SEKADAR SUATU TEMPAT PERSINGGAHAN…
Hidup kita pun tidak lain tidak
bukan seperti mereka yang terkurung di dalam kapal itu. Dikelilingi oleh nikmat
hidup yang terlalu banyak, yang kadang-kala kita cuba untuk mencarinya, dan ada
juga yang kita dapat tanpa kita dipinta.
'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang Engkau
dustakan?'
[Ar-Rahman :13]
Namun ada jua di antara kita
yang menganggap nikmat itu adalah punca kegembiraan mereka, dan tanpanya mereka
akan kehilangan kegembiraan itu. Tanpa mereka sedari, bahwa kegembiraan itu
adalah punca kesedihan mereka.
'…dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal ia
tidak baik untuk kamu.'
[Al-Baqarah : 216]
Tetapi mereka melupakan sesuatu.
Bahwa nikmat itu semata-mata bukanlah suatu kegembiraan bagi mereka. Bahwa
mereka hidup itu bukan untuk nikmat itu semata-mata.
Mereka lupa akan fitrah mereka.
Fitrah mereka yang cenderung kepada Yang Maha Esa, Yang Maha Memberi nikmat itu
dan Maha Pengasih terhadap mereka.
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah. Tetaplah
pada fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada
perubahan pada fitrah Allah.'
[Ar-Rum:30]
Dan dari
mana lagi untuk kita mencapai kegembiraan itu dari Dia yang mencipta
kegembiraan itu?
Senyum.
Mari
kita lihat para nabi, para rasul, para sahabat, para wali. Mereka hidup dalam
serba kekurangan. Kalau diperhatikan betapa daifnya mereka, maka kita akan
tertanya-tanya. Adakah mereka itu benar-benar bahagia dengan kehidupan mereka?
Adakah mereka lakukan semua ini kerana terpaksa? Maka dari situ, timbul rasa
simpati pada mereka.
Namun
hakikatnya, kalau kita suarakan itu pada mereka, maka yang sebaliknya akan
dijawab. Demi mendekatkan diri dengan Allah, mereka rela korbankan semua yang
kita panggilkan nikmat itu. Kerana dari situ mereka dapat merasa kegembiraan
yang sebenarnya lagi kekal abadi. Kegembiraan yang tidak dapat dirasai
melainkan mereka yang mempunyai fitrah yang sama.
Kegembiraan
kita bersama Illahi.
Dan dari
situ juga mereka sedari akan satu perkara.
Bahwa
dunia ini hanyalah satu tempat persinggahan. Hanya diibaratkan sedang menaiki
kapal yang penuh dengan harta karun, namun tiada gunanya untuk bergembira
kerananya kerana kegembiraan itu bukanlah kerana harta itu, tetapi yang memberi
harta itu.
Jadi,
mari muhasabah diri kita balik.
Mahukah
kita masih leka dengan nikmat dan bergembira dengan suatu kegembiraan yang
tiada kepastian?
Atau
kita mahu bergembira dengan kegembiraan yang kekal abadi bersama-Nya?
Wallahu'alam