Malam sudah melabuhkan tirainya. Bulan menjadi penerang kegelapan,
dibantu oleh sinaran bintang- bintang kecil yang berkelipan. Sesiapa yang
menghayati keindahan malam itu pasti akan memuji keindahan itu kepada Allah
SWT. Bezanya antara orang yang bertaqwa
pada Al-Khaliq dan yang lain adalah kepada mana pujian itu diberikan, adakah
kepada bulan dan bintang itu sendiri mahupun pencipta kepada mereka.
Bangunan
asrama kaum hawa di bumi anbiya itu masih belum rasa lewatnya malam itu. Di
aras sepuluh yang turut dikenali sebagai aras Mawar Berduri masih belum gelap.
Para penghuninya masih leka berseronok bersama. Sama ada dengan menonton filem,
bersembang mahupun menghabiskan masa dengan mendengar lagu. Hanya segelintir
dari tujuh belas penghuni aras itu sahaja yang betul- betul fokus belajar,
itupun hanya untuk setengah jam, paling lama satu jam.
"Kreek,"
kedengaran pintu aras itu dibuka. Tiada orang menyedarinya. Si gadis it uterus
memasuki ke bilik tidur utama, yang merupakan bilik paling besar dan menjadi port
mereka ketika itu.
"Assalamualaikum,"
kedengaran suara lembut bernada ceria dari depan muka pintu itu. Kesemua orang
memalingkan muka mereka ke arah gadis pemberi salam itu. Gadis itu masih
tersenyum, mukanya ternyata ceria ketika itu.
"Waalaikumusalam,
ha baru sampai? Ingatkan tak mari- mari tadi," sindir Anita, ketua aras
itu disambut oleh tawa kecil dua orang sahabatnya yang leka bersembang
bersamanya tadi. Gadis tadi hanya tersenyum, cuba mengelakkan dirinya terasa
hati dengan sindiran tadi.
"Maaf,
tadi ada hal sekejap. Hal berkenaan dengan artikel dulu saya hantarkan pada
Unit Penerbitan," jawab gadis itu. Dia pun turut mengambil tempat bersama
mereka, melabuhkan punggungnya di antara
mereka.
"Yeke
Anizatul? Ke pergi berjumpa dengan senior lelaki yang bertugas malam ni?
Macamlah kami tak tahu, hubungan awak dengan dia," kali ini Syahirah yang
menyindir. Kawan-kawan lain mula mengiya-iyakan kata-katanya itu.
"Ish,
mana ada," gadis yang dipanggil dengan nama Anizatul itu menidakkannya.
" Saya pergi selesaikan masalah artikel saya tu. Ada kesilapan dalam dateline
penghantaran artikel. Itu yang ambil masa lama nak jelaskan dan nak bincang
balik tentang penerbitan artikel tu."
"Alah
Anizatul.Apa susah? Awak pun tahu senior tu minat dekat engkau, sampai sanggup
ber-SMS tengah malam dengan engkau tentang hal-hal ini. Engkau ayatlah dia
sikit, mesti dapat punya!" kata Anita. Yang lain sudah berdekah-dekah tawa
mereka. Ada yang sudah bersiul lagi pada pernyataan Anita itu.
Anizatul
mula tidak selesa dengan kelakuan sahabatnya itu. Memang betul, kadang-kala
senior itu ada menghantar SMS kepadanya lewat malam, tapi ia memang berkenaan
dengan urusan rasmi yakni berhubung dengan artikel yang sentiasa dihantarnya
setiap bulan. Tetapi dia sedar akan batasnya juga. Dia tidak membalas SMS itu
sekiranya sudah melebihi pukul 12 tengah malam dan akan membalasnya dengan
hanya menyentuh tentang hal urusan itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dan
itulah yang muktamad.
"Haha
sudah, sudah. Kesian Anizatul nanti," Maisarah cuba meredakannya, meskipun
dialah yang paling kuat ketawa tadi. Anizatul
cuba berbaik sangka dengannya. "Bukankah, Anizatul ni jaga dia
punya pergaulan? Yalah, diakan dikenali sebagai Ustazah Laman Sosial antara
senior kita? Cuma yalah, manusia tak sempurna. Mesti ada kekurangannya, apatah
lagi bila dah jadi orang popular ni."
Ah,
pedas sungguh kata-katanya itu! Kata-katanya itu membuatkan yang lain makin
kuat mengenakannya, dan itu memang tidak mampu ditahan Anizatul. Anizatul
bingkas bangun dan terus keluar dari bilik itu.
"Eh
eh? Dah merajuk? Ala apalah dia ni?! Orang gurau sikit pun tak boleh! Ustazah
Laman Sosial!Haha!" kata-kata itu mengiringi pemergian Anizatul dengan
hatinya yang panas dengan kata-kata mereka dan gelak tawa mereka itu keluar
dari aras itu ke lif. Dia terus menekan punat butang lif ke tingkat yang paling
atas, mudah-mudahan di sana dia mampu menyejukkan kembali hatinya itu.
Sekiranya
tidak mampu untuk menahan dari berburuk sangka serta amarah anda, jauhilah dari
mereka yang menjadi punca itu. Bukan untuk memutuskan sillaturahim, tetapi untuk menjaga hati dari terus ditusuk oleh
pedang syaitan.
[Arani Anwah]
***
Dengan Nama
Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,
Apa yang di
langit dan bumi bertasbih kepada Allah.
Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Miliknya
kerajaan langit dan bumi,Dia menghidupkan dan mematikan,dan Dia Maha Kuasa atas
segala sesuatu.
Dialah yang
Awal,yang Akhir,yang Zahir dan yang Batin,dan Dialah Maha Mengetahui segala
sesuatu.
Dialah yang
menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas
Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari
dalamnya,apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana.Dan Dia bersama
dengan kamu di mana kamu berada.Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Miliknya
kerajaan langit dan bumi.Dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.
Dia memasuki
malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha
Mengetahui segala isi hati.
[Al-Hadid
:1-6]
` Air
matanya kembali menitis mengenai muka surat kitab Al-Quran dan tafsirnya itu.
Bertemankan bulan dan bintang sebagai lampunya, hembusan angin malam sebagai
kipasnya, Anizatul menenangkan fikirannya dengan mentadabbur ayat-ayat cinta
Allah SWT di atas bumbung asrama itu. Dari situ, dia turut memerhatikan
pemandangan kawasan bandar sambil cuba untuk melatihkan diri untuk memuji
kepada Allah SWT dan juga berbaik sangka kepada semua perkara.
"Ya
Allah," air matanya makin deras mengalir tatkala menyebut nama Rabbnya
itu.
" Berilah
kekuatan untuk diriku untuk berubah. Ku sedar, ilmuku tidak tinggi, ku sedar,
diriku masih tewas dengan dunya, dan ku yakin, apa yang diriku ini adalah salah
di mata mereka. Tetapi aku masih berpegang pada kata-kataMu. Aku masih
berpegang pada janjiMu untuk sentiasa bersama dengan orang yang merapati diri
mereka kepada Engkau. Ya Allah, berikanlah diriku ketabahan hati untuk menerima
kekurangan diriku dan diri mereka, prasangkaku dan prasangka mereka terhadap
diriku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui keadaan diriku yang sebenar, dan
mereka tidak boleh dipersalahkan untuk semuanya. Semua ini telah aku pilih
sendiri, untuk hanya mengadu padaMu dan hanyaMu sahaja. Ya Allah…"
Doanya
itu tidak mampu ditutur lagi. Air mata sahaja yang mampu mengalir dan
menemaninya malam itu. Rasa lemah terus menguasai diri, mengharapkan kekuatan
serta pengampunan dari Al- Ghafur yang sentiasa mendengar rintihannya.
***
"Ooi
Anizatul! Bangunlah! Nak dekat zohor pun tidur lagi! Apa jenis perempuanlah
engkau ini!" jerkah Maisarah yang
terus mengejutkan bukan sahaja fizikal Anizatul untuk sedar dari tidur,
tetapi juga jantungnya dan mindanya. Anizatul bingkas berdiri namun tiba-tiba
dia terduduk kembali. Matanya gelap tiba-tiba dan badannya juga makin lemah.
"Ya
Allah, mengapa dengan diriku ini tiba-tiba. Berikanlah kekuatan pada diriku
yang lemah ini!" doanya dalam hati lalu cuba gagahkan dirinya untuk
berdiri dan bersihkan diri serta mengambil wuduk.
Seusai
menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah bersama ahlil baitnya, Anizatul kembali
ke katilnya untuk baring. Badannya tiba-tiba rasa lemah dan lemah ini bukan
seperti sebelumnya. Kali ini jantungnya berdegup lemah. Anizatul memeriksa
denyutan nadinya. Perlahan dan amat sedikit.
"
Anizatul, jom! Kita keluar pergi jalan-jalan!" kata Farhana, rakan di
bilik sebelahnya. Anizatul menggeleng kepalanya, tidak mampu untuk bercakap.
Farhana mula mencebik bibirnya.
"Alah,
tak syoklah engkau ni! Orang masa cuti nilah nak keluar. Nak berseronok!
Engkau? Duduk terperap dalam asrama!" Farhana bersuara lantang.
"
Bukan saya tak mahu," jawab Anizatul lemah. "Tetapi saya tak
ulangkaji pelajaran lagi. Lagipun-"
"Eh,
itu bukan salah kami! Kami tak suruh pun awak tidur sampai waktu zohor," kali
ini Maisarah pula bersuara. Telinga Anizatul berdesing mendengarnya.
"Ustazah konon! Harap bertudung labuh semua, solat sunat dhuha tak nak
pula buat!"
Hilang
kata-kata, Anizatul mengalah dengan bersiap-siap. Dia menggagahkan dirinya
untuk keluar bersama Farhana dan Maisarah itu. Memang betul kata mereka, bukan
slaah mereka Anizatul tidak ulangkaji pelajaran waktu pagi. Salah dia juga
tidak sedar terlajak tidur sampai waktu Zohor selepas solat Subuh. Keletihan
badan menguasainya. Dari itu, dia berazam untuk tidak mengulangi perkara yang
sama.
"
Hoi Anizatul lambat lagi ke?!" kedengaran suara Farhana dari luar pintu
aras. Anizatul masih bersiap memakai tudungnya.
"
Kamu semua pergilah dulu tunggu di bawah! Nanti saya menyusul!" Anizatul
menjerit dari dalam. Tidak mendengar sebarang suara, Anizatul menjangka mereka
sudah turun sebelum dia menjerit tadi.
Anizatul
bergegas bersiap lalu menaiki lif untuk ke bawah. Di dalam lif dia masih lagi cuba menggagahkan
dirinya serta mengawal nafasnya yang makin tidak teratur. Apabila pintu lif terbuka, dia terus keluar
tanpa melihat ke hadapan.
"
Dush!"
"
Ya Allah! Aduh sakitnya!" Anizatul terduduk sambil tangannya memegang
bahunya. Bahunya berdenyut kesakitan akibat terlanggar sesuatu tadi. Matanya
kembali berpinar-pinar tetapi cuba mengendahkannya.
"Masya-Allah!
Minta maaf sangat-sangat. Boleh saya tolong?" kedengaran suara lembut,
tetapi cukup dikenalinya dari atasnya. Anizatul cuba membuka matanya dan memandang
ke arah punca suara itu. Anizatul terkejut. Dia lantas bangun lalu cepat
mengatur langkahnya ke pintu.
"
Eh, Anizatul tunggu! Bahu awak berdarah!" langkah Anizatul terhenti
mendengar kata-kata itu. Anizatul menoleh ke arah bahunya yang masih berdenyut
itu. Memang ternyata ada tompok darah, tetapi tidak banyak. Otaknya berfikir
bahawa dia mesti belanggar dengan sesuatu yang tajam sehingga menyebabkan luka
di bahunya. Tiba-tiba kain hitam menutupi bahunya yang berdarah itu, dan sesaat
kemudia baru Anizatul menyedari bahawa itu adalah kemeja hitam. Anizatul
memandang ke belakang.
"
Maaf Anizatul," suara milik Mohammed Akram itu berbicara. "Salah saya
kerna tidak memandang ke arah saya berjalan. Sekarang bahu awak berdarah kerana
terlanggar besi tajam ini," Akram berkata sambil menunjuk ke arah besi
tajam yang dipegangnya. Anizatul hanya mendiamkan diri. Melihat tiada respons
Akram kembali bersuara.
"
Nampaknya awak hendak keluar dari asrama ini. Ambillah kemeja itu untuk lindung
bahu awak yang berdarah itu. Saya pasti awak tak nak orang tahu awak terluka,
dan saya juga pasti awak hendak bergegas keluar. Jangan risau, kemeja itu bukan
milik saya, tetapi adik perempuan saya punya."
"Terima
kasih," Anizatul bertutur lembut tetapi tidak sempat dihabiskannya.
Maisarah dan Farhana sudah mula menjerit namanya dari luar asrama. Anizatul
terus bergegas keluar sehingga kemeja yang menutupi bahunya itu terjatuh. Akram
tidak sempat untuk memanggilnya untuk mengambil kemeja itu.
"Anizatul-"
hatinya mula menyebut nama gadis itu. Namun dia tersedar lalu beristighfar. Dia
tidak boleh membiarkan syaitan untuk menguasai hatinya, lebih-lebih lagi bila
berkaitan dengan seorang insan bergelar hawa. Dia telah hampir melampaui batas
sebagai seorang adam kepada seorang hawa tika itu, dan Allah SWT telah
menyedarkannya kembali dari terus berfikir
tentang hawa itu yang diberi nama Anizatul Zaina.
Akram bergerak menuju ke arah
kemeja itu jatuh lalu dikutipnya. Di bawah Al-Quran itu terdapat senashkah
Al-Quran berwarna coklat tua milik Anizatul yang cukup dikenalinya. Dia
mengutip Al-Quran itu lalu membuka sehelai demi sehelai muka surat yang
ditandakannya, sehingga tiba ke satu muka surat yang ditanda dengan sehelai kertas kecil yang bertulis.
Akram pun membacanya.
"
Bismillah. Ar-Rahman. Ar-Rahim"
[Akan
bersambung…]
No comments:
Post a Comment