Saturday 23 November 2013

.:: ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA ::

.:: ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA ::.

Dengan lafaz Bismillah,

Assalamualaikum wbt,

Rasa bosan mula menjelma dalam diri. Malam kian larut, namun mata masih tidak mahu dipejam. Mungkin ini adalah peringatan daripada-Nya mengenai akibat tidur berlebihan di siang hari, mungkin juga nikmat untuk beribadah di malam hari. Dan mungkin kerana kaca mata iman malam itu agak-agak kabur, maka sukar untuk membezakan yang mana satu yang betul.

Pen diletak. Buku teks Pathology yang ditelaah juga ditutup. Keluhan kecil dilepaskan selepas penat menelaah ilmu perubatan hampir dua jam. Mata pula beralih kepada computer riba berjenama Samsung di meja kecil di hadapan lantai. Laman web sosial Facebook dibuka dan tidak disentuh sejak mula menelaah. Diri ini terus mendekati komputer riba itu untuk melihat apa yang terbaru dan notifikasi terbaru yang dapat.

Tiada.

Tiada melainkan permintaan untuk permainan yang tak pernah diketahui oleh rakan-rakan. Sekali lagi melepaskan keluhan kecil, kali ini tanda diri ini mula dilanda kebosanan yang teramat. Dibuka pula tab baru lalu membuka laman web YouTube. 'Kis-My-Ft2' yang kutaip. Mengapa? Entahlah, tiba-tiba rasa mahu membukanya. Tiba-tiba nama artis kumpulan Jepun itu yang dibukanya, bukan Nouman Ali Khan, bukan Sheikh Yusuf, bukan Mishary.

Adakah futur mula mengetuk pintu hati? Oh tidak mungkin! Nauzubillah min zalik!

Namun jari ini masih tidak berhenti untuk melihat dan memilih salah satu video mereka untuk ditonton. Apakah yang cuba dilakukan ini?

Seusai sahaja melihat video itu, diri ini terdiam. Hati ini mula memberontak, akal pula mula ligat berfikir. Terus ditutup laman web itu dan dibuka Microsoft Word 2010. Dengan lafaz Bismillah, satu demi satu huruf mula ditaip.

'ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA…'

HANYA BERGEMBIRA KERANA MENJUMPAI KASUT RODA

                Mata tidak terlepas pandang dari menonton video itu. Kekaguman timbul. Ya, kekaguman. Apabila melihat mereka yang muda dan mempunyai skil untuk menyanyi,menari dan menggunakan kasut roda sebagai aset mereka. Kagum dengan kesungguhan mereka yang akhirnya mereka mampu untuk berjaya menjadi seorang bintang. Tapi lebih dari itu, kagum dengan konsep video mereka.

                Erk?

                Eheh.

                Ya, konsep video mereka.

                Mereka, yang kebosanan di dalam sebuah kapal laut. Kapal laut penuh dengan harta karun. Penuh dengan kemewahan. Kerja mereka untuk mencari kegembiraan dengan harta karun itu. Namun hampa. Masih tidak dijumpai kegembiraan itu walaupun dengan harta karun yang menggunung, bahkan menyebabkan pergaduhan antara mereka. Saban hari, mencari dan mendapat harta karun. Bahkan apabila mereka sedang memancing pun mereka mendapat harta karun, namun itu hanya menambahkan kesedihan mereka. Sehinggalah…

                Jeng jeng jeng!

                Mereka berjaya memancing sepasang kasut roda. Yang membuat mereka sangat gembira. Ya, sangat gembira! Kasut roda yang menjadi aset mereka! Ikon mereka dan signature mereka.

                Dan akhirnya mereka mendapat kegembiraan yang mereka kecapi!

                Angkat kening mata.

                Masih tak faham?

                Kerana apa yang konsep mereka gunakan ini sebenarnya ada kaitan dengan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

HIDUP INI HANYA SEKADAR SUATU TEMPAT PERSINGGAHAN…

                Hidup kita pun tidak lain tidak bukan seperti mereka yang terkurung di dalam kapal itu. Dikelilingi oleh nikmat hidup yang terlalu banyak, yang kadang-kala kita cuba untuk mencarinya, dan ada juga yang kita dapat tanpa kita dipinta.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang Engkau dustakan?'
[Ar-Rahman :13]
               
                Namun ada jua di antara kita yang menganggap nikmat itu adalah punca kegembiraan mereka, dan tanpanya mereka akan kehilangan kegembiraan itu. Tanpa mereka sedari, bahwa kegembiraan itu adalah punca kesedihan mereka.

'…dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal ia tidak baik untuk kamu.'
[Al-Baqarah : 216]

                Tetapi mereka melupakan sesuatu. Bahwa nikmat itu semata-mata bukanlah suatu kegembiraan bagi mereka. Bahwa mereka hidup itu bukan untuk nikmat itu semata-mata.

                Mereka lupa akan fitrah mereka. Fitrah mereka yang cenderung kepada Yang Maha Esa, Yang Maha Memberi nikmat itu dan Maha Pengasih terhadap mereka.

 Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah. Tetaplah pada fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.'
[Ar-Rum:30]

                Dan dari mana lagi untuk kita mencapai kegembiraan itu dari Dia yang mencipta kegembiraan itu?

                Senyum.

                Mari kita lihat para nabi, para rasul, para sahabat, para wali. Mereka hidup dalam serba kekurangan. Kalau diperhatikan betapa daifnya mereka, maka kita akan tertanya-tanya. Adakah mereka itu benar-benar bahagia dengan kehidupan mereka? Adakah mereka lakukan semua ini kerana terpaksa? Maka dari situ, timbul rasa simpati pada mereka.

                Namun hakikatnya, kalau kita suarakan itu pada mereka, maka yang sebaliknya akan dijawab. Demi mendekatkan diri dengan Allah, mereka rela korbankan semua yang kita panggilkan nikmat itu. Kerana dari situ mereka dapat merasa kegembiraan yang sebenarnya lagi kekal abadi. Kegembiraan yang tidak dapat dirasai melainkan mereka yang mempunyai fitrah yang sama.

                Kegembiraan kita bersama Illahi.

                Dan dari situ juga mereka sedari akan satu perkara.

                Bahwa dunia ini hanyalah satu tempat persinggahan. Hanya diibaratkan sedang menaiki kapal yang penuh dengan harta karun, namun tiada gunanya untuk bergembira kerananya kerana kegembiraan itu bukanlah kerana harta itu, tetapi yang memberi harta itu.

                Jadi, mari muhasabah diri kita balik.

                Mahukah kita masih leka dengan nikmat dan bergembira dengan suatu kegembiraan yang tiada kepastian?

                Atau kita mahu bergembira dengan kegembiraan yang kekal abadi bersama-Nya?

Wallahu'alam

Wednesday 9 October 2013

.:: ANA MEMPUNYAI SEBUAH IMPIAN ::.


.:: ANA  MEMPUNYAI  SEBUAH  IMPIAN  ::.

Assalamualaikum  wbt,


Dengan  lafaz  Bismillah,

‘Tidaklah  adil  jika  kita  hanya mahu  mentarbiyah  orang  yang  hanya  benci  pada  Islam. Apa  kata, kita  mentarbiyah  dan  memperkenalkan  Islam kepada  orang  yang  tidak  pernah  mendengar  tentangnya?’
-Monolog  hati-


“ Apakah  impian  enti  dalam  usaha  dakwah  dan  tarbiyah  enti?” satu  soalan  diutarakan  pada  ana. Ana  tersenyum  tersipu- sipu. Malu  diutarakan  soalan  itu, malu  lagi  untuk  menjawabnya.

“ Hanya supaya  semua  mengenal  Islam  dan  bahagia  bersama- sama  dengan  kita  apabila  di  syurga  kelak,” ana  jawab. Memang  itu  jawapan  lumrah  ana. Sahabat  ana  menggeleng-geleng  kepalanya.

“ Bukan  itu  jawapan  ana  mahukan,” balasnya.  Terkejut  ana  mendengarnya. Dia  menyambung  kembali  bicaranya  sebelum  ana  sempat  bertanya.

“ Maksud  ana, dalam  bidang  dakwah  dan  tarbiyah, adakah  enti  mempunyai  seseorang  yang  enti  sendiri  mahu  mendekatinya  secara  peribadi? Membawanya  mengenal Islam  dengan  titik  peluh  enti  sendiri?”

“…”

“Jadi? Bagaimana?”

“Sebenarnya  ada, tetapi-”

“ Ana  dah  agak! Siapa  dia? Kekasih  hati  ke?”
Ana  menggeleng  kepala. Ana  cuba  mengumpul  kekuatan  untuk  menjawab  persoalan  itu.

“ Seorang  artis  yang  pernah  ana  minat. Ana  mahu  kalau  boleh, meskipun  dia  tidak  menerima  Islam  dan  mengucap  dua  kalimah  syahadah, sekurang-kurangnya  ana  mahu  dia  mengenal  Islam  dan  sedikit  sebanyak  mengamalkan  kehidupan  yang  dianjurkan  Islam, dan  bukannya  mengikut  arus  hiburan dunia.”

“ Erk, itu  jawapan  enti?” dia  kata sambil  ketawa. Mungkin  dia  tak  percaya, ataupun  tidak  menjangkakan  jawapan  itu. Dia  menepuk  bahu  ana  lalu  berkata,

“ Sudahlah enti. Tidak  baik  tahu  untuk  menyimpan  perasaan  pada  yang  bukan  mahram, apatah  lagi  seorang  artis. Kalau  mad’u  enti  dapat  tahu, boleh  bikin  salah  faham.”

Aduh, sungguh  sakit  rasanya  hati  mendengar  sindirannya.  Namun  hanya  senyuman  sahaja  yang  ana  mampu  balas. Tidak  mengapa, biarkanlah. Mungkin  dia  tidak  faham  akan  niat  ana  yang  sebenarnya.

Hanya  Allah  yang  Maha  Mengetahui  segala  isi  dadamu.
[Al- Quran, Al- Hadid :6]

JAHILIAH YANG MASIH  TIDAK  BERPISAH

Masih  ana  ingat.
Tatkala  ana  masih  di  zaman  persekolahan, hanyalah Jepun  di  dalam  minda  ana. Dari  budaya, makan minumnya, bahkan kawasannya  dan  pendidikannya  adalah  sebahagian  daripada  impian  ana. Lebih  dari  itu, artis  Jepun  dan  hiburannya  juga  menjadi  nadi  hidup  ana  tika  itu.

Mungkin  kerana  darah  ana  memang  ada  darah  Jepun. Mungkin  juga  ana  seronok  dan  gembira, kerana  ada  juga  orang  yang  berwajah  seperti  ana  namun  tidak  dikeji  kerana  tidak  cukup ‘kemelayuan’nya.

Eheh.

Dari  pakaian, tarian  dan  lagunya. Semua  ana tiru, semua  ana  hafal. Sehingga akhirnya  ana  menjadi seorang  yang pergh! boleh  kata  paling  bergaya  dan  paling  ikut  perkembangan  fesyen. Pakaian  mereka  bukannya  mahal  dan  susah  didapati. Kedai  ‘bundle’ ada, ‘reject’ pun  berlambak  sahaja. Pilih sahaja, nah! Tiga  helai  RM 10. Bukankah  murah?

Namun  waktu  itu  ana  masih  lagi  menjaga  maruah  diri  ana. Tidak  merayau- rayau, tidak  juga  berdua-duaan (baca : couple) dan  paling  penting, tidak  terlibat  dengan  masalah  sosial. Paling  teruk, kawan  berbangsa  Cina  meminta  menyamar  jadi  teman  lelaki  mereka  untuk  berpisah  dengan  teman  lelaki  mereka  waktu  itu. Namun  tidak  bermain  dengan  perasaan. Tidak  lebih  dari  itu, waktu  itu  hanya  niat  ingin  menolong.

Itu  semua  waktu  jahiliah. Orang  kata, waktu  muda-muda. Waktu  fikiran  masih  beranggapan ‘You only  live  once, so  why  not  enjoy it?’ Bila  dah  masuk Sekolah  Depan  Zoo, baru  hati  diketuk  pintu  hidayah  untuk  berubah, meskipun  begitu  sukar  sekali  untuk  berubah. Dari  hanya  berseluar  dan  t-shirt  bundle, kepada  berbaju kurung. Dari  berambut  pendek  berstailkan  artis  lelaki Jepun, kepada  bertudung  litup bidang  45  ayu  gitu.

Eh?

Akhirnya, sedikit  demi  sedikit, lama-lama  jadi  bukit. Sedikit demi sedikit  akhirnya menjadi  gunung pula. Tika  itu, Alhamdulillah, semua  mengenai  Jepun  dan  budaya  mereka  semua  telah  dilupakan. Sehinggakan  sanggup  tolak  tawaran  biasiswa  untuk  belajar  ke  sana  untuk  ke  Mesir, atas  alasan  ilmu  agama  dan  perubatan  sana  yang  begitu  mahal  untuk  didapati.

Namun, ada  sesuatu  yang  kurang.

Makin  lama  tinggal  di Mesir,  menelaah  ilmu perubatan  dan  agama  di  sini. Makin  lama  mengenal  erti  dakwah  dan  tarbiyah,  di  samping  menyertainya  sama  ada menjadi  golongan  yang  didakwah  dan  ditarbiyah  ataupun  golongan  yang mendakwah  dan  mentarbiyah. Masih  ada  sesuatu  yang  kurang. Sesuatu  dalam  diri  ini  masih  hilang, masih  kosong.

Perasaan itu  berlarutan  hingga  akhirnya  terpaksa  dipaksa  balik (baca : evakuasi)  oleh  kerajaan  Malaysia  atas  pergolakan  politik  di  bumi  anbiya’ ini. Sewaktu  sebulan  empat  hari  di  Malaysia,diri  ini  berasa  semakin  futur. Mungkin  kerana  sudah  tidak  berada  di  Mesir  seperti  ikut  perancangan. Mungkin, sehinggalah  seorang  murabbi serta  sahabat  baik  menghantar  mesej  pada  ana,
‘Mungkin  enti  sudah  hilang  matlamat  dakwah  dan  tarbiyah  enti. Mungkin  juga, enti  perlu  mencari  matlamat  jangka  panjang  di dunia  untuk  dakwah  dan  tarbiyah. Cara  paling  mudah, cuba  cari seorang  yang  enti  mahu  dia  mengenal  Islam, untuk  mengucapkan  dua  kalimah  syahadah  dan  akhirnya  menjadi  buruh  untuk  membangunkan sinar Islam.”

Nangis.
Akhirnya  ana menemui  semangat  dalam  kata-katanya. Namun  ada  satu  perkara  lagi  yang  ana  perlu  selesaikan. Siapa  mad’u  pilihan  ana untuk  merealisisasikan  matlamat  itu.

Namun  itu  tidak  berlarutan  panjang. Allah  Maha  Merancang, InsyaAllah  apa  yang  Allah  merancang  adalah  yang  terbaik.  Pada  suatu  petang, terdetik  dalam  hati  untuk menonton  CD drama  bersiri  Jepun  yang  pernah  dikumpul  dahulu. Sedang  menonton  itu, tiba- tiba  rasa  minat  yang  dahulu  pernah  dilupakan  kini  bercambah  kembali. Tetapi  dari  menjadi  bunga  yang  asal, ia  menjadi  bunga  yang  lain. Dari  berfikiran, “Ah, sungguh  hebat  mereka! Kakkoi ne! Sugoi  ne!” pada  berfikiran “ Mengapa  mereka  berkelakuan  sebegitu? Mengapa  akhlak  mereka  teruk  meskipun  kemajuan  mereka  adalah  antara  yang  paling  dikagumi? Mengapa mereka  tidak  menggunakan  bakat  mereka  untuk-“

Ting!

Akhirnya  diri  ini  tersenyum  puas. Akhirnya  ana  sudah  menjumpai  matlamat  ana.

Matlamat  ana  untuk  mengubah  rakyat  Jepun, khususnya  artis- artis  mereka  ke  arah  Islam! Untuk  mengenal  Islam!

Hoyeah!

Sujud  syukur  sambil  ucapkan Alhamdulillah!

IMPIAN  KAMU  BESAR  SANGAT! LUPAKANLAH!

“Mereka  itu  artis,  bolehkah mereka  terima?”

“ Mereka  itu  tak  kenal  awak, bolehkah  mereka  terima  dakwah  awak  tu?”

“ Kos  besar  tu! Lupakan  sahajalah!”

“ Orang  Malaysia  pun  tak  habis  ditarbiyah. Nak ke  negara  lain!Fokus  dahulu  negara  kita!”

Satu  demi  satu cemuhan  diterima. Seorang  demi  seorang  gelak  akan  matlamat  ini.  Seorang  demi  seorang  mula  rasa ragu  terhadap  apa  ana  cuba  laksanakan  ini.

Tarik  nafas, mulakan  dengan  Bismillah. Lillahi  Ta’ala.

Ya, ia sukar. Namun  tidak  mustahil.

Apa  yang  ana  boleh lakukan  adalah  berusaha  lebih  kuat  dan  fikir  luar  dari  kotak. (baca : think  out  of  the  box) Apa  yang  ana  perlu  lakukan  adalah  perbanyakkan DOA, USAHA lebih  kuat, IKHTIAR  secar  kreatif  dan TAWAKAL  sepenuhnya pada  Allah.

Formula D-U-I-T. Sesuai  untuk  dakwah  dan  tarbiyah. Sesuai  untuk  mencapai  matlamat.

Masihkah  kita  lupa  kuasa  DOA ?

Adakah  kita  lupa, bahawa  Nabi  Zakaria  AS  pernah  berdoa,

‘Ya Tuhanku, berilah aku  keturunanyang  baik  dari sisi-Mu,sesungguhnya Engkau Maha Mendengar do’a.
[Al-Quran, Surah Al Imran :38]

Lalu  diperkenankannya  oleh-Nya  hasil  doanya  yang  istiqomah  dan  tidak  putus-putus. Meskipun  pada waktu  itu  mustahil untuk  isterinya  melahirkan  anak.

Kuncinya di sini adalah Sabar dan  Tidak Berputus Asa.

Masih perlukan  bukti?

Satu do’a Rasullah SAW  yang  diperkenankan Allah SWT  tatkala  malam  Khamis  adalah,

“Ya Allah, muliakan Islam  dengan Umar Al-Khattab atau Abu Jahl (Amru) bin Hisyam.”

Hasilnya?

Islamlah Umar Al-Khattab yang  memiliki  nama Al-Farouq.

Maka  kuasa  doa sebagai  senjata  mu’min  tidak  boleh  disangkal  lagi.

Bagaimana  pula  dengan  USAHA?

Ana  teringat, dalam  sebuah  drama  bersiri  Jepun  berjudul ‘Risou no Musuko’. Dalam  sebuah  babak  watak  utamanya  berbohong  tentang  keputusan  ujian kebangsaan  untuk  kemasukan  university pada  ibunya  untuk  menyenangkan  hati  ibunya  yang  gusar  tentang  masa  depannya. Dari  mengatakan  yang  benar, bahawa  dia mendapat  tempat ke-274, dia  mengatakan  dia  mendapat  tempat pertama.

Namun  adakah  ia  berhenti  setakat  itu?

Tidak! Sebaliknya  sejak  hari  itu  dia  berusaha  lebih  kuat  untuk  mendapat  tempat  pertama! Sebagaimana  dia  berbohong  pada  ibunya  itu.

Meskipun  dia  berbohong  pada  ibunya itu  adalah  perbuatan  yang  tidak  wajar, namun  dia  cuba  menebusnya  dengan  berusaha  lebih  kuat  untuk  mencapai  matlamatnya  untuk  menyenangkan  hati  ibunya  itu.

BERUSAHA   LEBIH  KUAT.

Itulah  kuncinya  yang  kedua!

IKHTIAR pula  bagaimana?

Ikhtiar dengan  cara kreatif. Menggunakan  210% segala  kebolehan  dan  bakat  kita  untuk  melaksanakannya.

Sekiranya  kita  mampu  berikhtiar  untuk mencapai  kejayaan dalam  akademik, bagaimana  pula  dengan  dakwah  dan tarbiyah.

Bagaimana  pula  kita  luaskan skop  kita, “ Bagaimana  untuk  ana  capai  mad’u  yang  tak  terjangkau? Mustahil  atau  tidak?”

Tentulah  tidak!

Ana  masih  ada sisa- sisa  bakat  menulis  ana. Dahulu  digunakan  untuk  kegunaan  masa  lapang. Kini  digunakan  untuk  bidang dakwah  dan  tarbiyah.

Ana  masih  ada  kudrat  untuk  belajar  bidang  fotografi  dan  perfileman. Maka  tidak  mungkin  ana  sia-siakan!

Hendak tackle mad’u hendaklah  kita  sediakan  dua  perkara. Ta’aruf  dan  akhlak  mulia. Selidiklah latar  belakangnya  dan  kemudian  berakhlak lah  dengan  akhlak  dianjurkan  Islam.

Bukankah  itu  mudah?

Akhir sekali, kita  ber TAWAKAL pada Allah Maha  Berkuasa.

Kita  berdoa, berusaha  dan  berikhtiar. Maka  selepas  itu  kita  serahkan  pada Allah. Namun  bukan  bermakna   ‘selepas  itu’  adalah selepas  suatu  tempoh  masa, tetapi  lebih  kepada  selepas  kita  melepaskan  nafas  terakhir  di  dunia  ini.


JANGAN  PUTUS  ASA TERHADAP  IMPIAN  DAKWAH  DAN  TARBIYAH!

Satu perkongsian  pada  malam  Ramadhan  oleh  sahabat  ana,

‘Kita  senantiasa  meminjam  teknologi  mereka, kemajuan  mereka  yang  berada  di  Matahari  Terbit. Sedikit  sebanyak  ia  telah  memudahkan  kehidupan  kita  di dunia  ini. Bahkan  untuk  du’at  yang memanfaatkan  teknologi  itu  juga  telah  mendapat  kelebihan  di  akhirat  nanti insyaAllah.

Namun, tidak  pernahkah  kita  terfikir  untuk  membalas  jasa  mereka  sebagai  seorang  mukmin?

Untuk  membawa  mereka  ke kesenangan  dunia  dan  akhirat?

Lihat  keadaan  mereka  sekarang. Meskipun  kemajuan  dan  budaya  mereka  disanjung, namun  hati  mereka  sengsara  kerana  jauh  dari  Islam.

Tidak  takutkah  kita  untuk  dipersoalkan  mereka  di  Yaumul  Hisab  nanti?’

Tersedak.

Namun  tersenyum  dalam kebingungan.

Meskipun akan  dicemuh  dan  dianggap  gila  kerana  cuba  membawa  matlamat  ini.

Namun…

Bukankah  orang  yang  berjuang  di  jalan-Nya  akan  menghadapinya?

Jikalau  itu  adalah  harganya, maka  ana  akan  hadapinya!

InsyaAllah! Allah  bersama ana  dalam  matlamat  ini  meskipun  orang  lain  tidak!

Wallahu’alam.

Monday 16 September 2013

.:: RUMAH ADA TAPI TAK BOLEH MASUK?! ::.

 .:: RUMAH ADA TAPI TAK BOLEH MASUK?! ::.


Assalamualaikum wbt,
Dengan lafaz Bismillah,

Sejak diri ini mempunyai keupayaan fizikal serta mental, tidak terkecuali dari bantuan kewangan serta lain- lain, diri ini mempunyai satu misi. Misi untuk membina rumah idaman! Ya, rumah idamanku! Pagi petang, siang malam tidak habis- habis masaku diluangkan untuk membina rumah ini. Semuanya mendapat perhatian yang tinggi dariku dan usaha yang istiqomah untuk mereka seni binanya, memilih bahan bermutu serta paling penting adalah pembinaannya. Semuanya diperhalusi oleh diriku sendiri. Supaya ia jadi rumah paling indah! Rumah yang lain dari yang lain! Dan yang paling penting, ia adalah ‘trademark’ aku sendiri. Ya, itulah yang aku mahu kecapi!

                Akhirnya, selepas berpuluh-puluh tahun badan ini berkeringat dengan peluh kesungguhan, akhirnya rumah yang aku bina dengan penuh kasih sayang dan perhatian tidak terhingga ini akhirnya siap. Selepas akhirnya sujud syukur, maka aku melangkah ke pintu rumah itu sambil memawa kunci rumah baru itu. Sampai sahaja aku di hadapan pintu rumah milikku itu, tiba-tiba ada seorang lelaki berbadan tegap menghalangku untuk memegang tombol pintu itu. Bahkan lebih dari itu, ditarik aku serta dibawa jauh dari perkarangan rumah itu. Aku cuba melepaskan diri, tetapi tetap dihalang olehnya, bahkan boleh pula ditendang dan dibelasah badanku yang dua kali ganda lebih kecil darinya.

                ‘Kurang ajar betul lelaki itu,’ desus hatiku. Sekali lagi aku cuba untuk meloloskan diri dari lelaki itu tetapi tetap dihalangnya.

                “Eh,apasal engkau haling aku dari masuk rumah aku?!Rumah tu rumah aku ok, bukan rumah orang lain!” aku jerit pada lelaki itu. Lelaki itu memandang tajam tepat pada muka aku dengan pandangan begitu menggerunkan. Sampai tertunduk semata-mata tak mahu bertentang mata dengan dia.

                “Memang itu rumah engkau. Rumah engkau bina. Rumah engkau jaga,” kata lelaki itu dengan suara yang garau. “Tetapi,” dia sambung. “ Itu bukan tanah engkau! Dan engkau tiada hak pun nak masuk ke dalam kawasan rumah engkau itu!Sebab itu bukan tanah engkau pada awalnya!”

                “APA??!!!” Kata-kata lelaki itu bagaikan halilintar memecahkan gegendang telinga juga hati aku.

***

Sebelum apa-apa spekulasi yang bakal dilontarkan, biarkan ana menjelaskan dahulu:
·         Kisah itu adalah anologi, aku bukan ana dan ana bukan aku.
·         Tiada rumah yang dibina oleh ana, dan tiada tanah yang diletakkan bawah ana.
·         Sila baca penjelasan ana untuk memahami hadaf anologi ini.



Sebelum ana menjelaskan apa-apa, izinkan ana untuk berkongsi sebuah hadis sahih ini :-
'Amalan pertama seorang hamba yang dihitung pada Hari Kiamat adalah solat. Apabila sempurna sembahyang,dia beruntung. Sekiranya tidak,dia akan rugi'
[HR Tirmizi]

Dari hadis ini, kita dapat perhatikan bahwa solat fardhu lima waktu yang diperintahkan pada kita melalui Rasullah SAW adalah wajib untuk kita laksanakan. Bahkan, kalau perhatikan dalam Rukun Islam yang kita perlu hafal demi lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia, ada juga dikatakan mengenai solat fardhu lima waktu. Tanpanya, maka kita bukan Islam. Dan tanpa Islam, adakah mampu kita ke syurga?

Baiklah, selepas itu sila baca dan hayati hadis ini pula :-
'Tiada seorang hamba pun Muslim yang bersembahyang kerana Allah Ta'ala setiap hari sebanyak dua belas rakaat sebagai solat sunat yang bukan diwajibkan melainkan Allah mendirikan untuknya sebuah rumah di dalam syurga, atau melainkan untuknya didirikanlah sebuah rumah dalam syurga.'
[HR Muslim]

                SubhanaAllah! Hebat bukan ganjaran Allah pada kita? Hanya dengan melaksanakan solat sunat rawatib sebanyak 12 rakaat sebelum dan selepas solat fardhu, maka kita akan memperoleh rumah di Al-Jannah nanti. Mudah-mudah sahaja dapat rumah di Al-Jannah. Rumah yang tak pernah dilihat, difikir bahkan tidak terbayang oleh akal kita.

TETAPI TUNGGU!
Ingat tak apa ana cakapkan tadi?
Tanpa tiket ‘Islam’ itu, tidak mungkin kita masuk ke syurga.

“…”

Bagaimana pula itu?

                Ya, itulah apa yang ana nak cuba sampaikan. Apabila amalan fardhu dan wajib ditinggalkan dan amalan sunnat diutamakan. Tanpa kita laksanakan yang wajib, bagaimana kita ingin mendapat redhaNya? Bukankah susah payah kita melaksanakan amalan sunnah itu?
               
                Jangan salah faham. Bukan niat ana nak menghalang antum untuk melakukan amalan sunnah, cuma utamakan amalan wajib dahulu. Bayangkan,

Jika solat sunnah kita laksanakan habis-habisan,
Tetapi solat fardhu kita main ‘cak-cak’ sahaja,
Bukankah sudah penat di situ sahaja?

Jika puasa sunnat bukan main semangat untuk laksanakan,
Tetapi puasa qada mahupun Ramadhan itu pun teragak-agak,
Bukankah rugi di situ?

Duit banyak, pergi umrah berkali-kali,
Tetapi tak pula teringin melaksanakan haji,
Bukankah itu sudah dikira membazir?

                Bukan setakat amalan dalam Rukun Islam sahaja, tetapi dalam banyak amalan fardhu lain. Jangan kita laksanakan yang sunnah, mengagungkan sunnah, tetapi amalan fardhu tergendala.

Tatkala kamu rajin dan bersemangat, laksanakanlah amalan fardhu dan sunnah, namun jika waktu itu kamu tiada semangat, maka sempurnakanlah amalan fardhumu.
-Saidina Ali RA-

                Ambil iktibar dari kata-kata Saidina Ali RA. Bukanlah perlu meninggalkan amalan sunnah, tetapi biarkan ia seiring dengan amalan fardhu yang sememangnya wajib dan berdosa jika ditinggalkan.

                Mudarris Lughatul Malizia ( baca : Cikgu Bahasa Malaysia) ana pernah buat analogi apabila kami membuat esei untuk Sijil Pelajaran Malaysia dahulu,

                “ Bayangkan anda semua adalah chef yang sedang menyediakan makanan. Yang penting adalah menu utama iaitu hidangan awak. Ditambah pula hiasan demi mencantikkan dan menarik perhatian pelanggan awak. Hidangan awak adalah isi esei awak, manakala hiasan itu adalah gaya bahasa awak. Pelanggan itu adalah pemeriksa awak yang bakal memberi markah pada esei awak. “

                Sama juga dalam hal ini, hidangan kita adalah ibadah fardhu kita, Wajib dilakukan dengan sempurna dan sebaik-baiknya, hiasan itu pula adalah ibadah sunnah kita untuk mencantikkan bahkan melengkapi ibadah fardhu kita. Dan pelanggan kita ialah Yang Maha Adil dalam menilai setiap amal kita. Ya’ni Allah SWT.

                Ayuh ya Pemuda Islam,
                Ubah mindset  kita dari terus dibuai dalam dodoian syaitan. Ubah cara pemikiran masyarakat dengan kesedaran yang sebenarnya. Mari kita semua usaha untuk mendapat tiket ke syurga itu supaya kita mampu mendapat nikmat yang tak terhingga di dalamnya Abadan abada.

Wallahu’alam.

Monday 2 September 2013

.:: MOH TADABBUR! :- SURAH INSYIQAQ (2/3) ::.

.:: MOH TADABBUR! :- SURAH INSYIQAQ (2/3) ::.



Assalamualaikum wbt,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

                Bacalah Al-Quran, kerna ia adalah kunci pada hatimu.
[AraniAnwah]

***
‘Dan adapun orang yang catatannya diberikan dari arah belakang. Maka dia akan berteriak, “Celakalah aku!”’
[Al-Insyiqaq : 10-11]
Di Yaumul Qiamah lah, kegembiraan yang tidak berkesudahan dapat dirasai, dan penyesalan tiada penghujungnya dapat dilihat. Tatkala ahli-ahli syurga bergembira tatkala mendapat catatan amalnya dari sebelah kanan mereka, mereka yang mendapat buku amal dari kiri mahupun belakang akan meraung dan berteriak akan penyesalan mereka. Kerna mereka sudah mengerti, bahwa itu sudah menjadi kecelakaan terhadap mereka yang tiada orang mampu nafikan.
Namun, mengapa ramai antara kita masih tidak mahu sedar dan mengubah takdir itu?

‘Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala.(neraka)’
[Al-Insyiqaq :12]
Dan ditarik-tarik mereka oleh malaikat yang ditugaskan untuk memasuki ke api neraka yang panasnya tidak mampu digambarkan,dirasakan dan tidak terfikir oleh manusia di dunya ini secara tiada relaan bagi mereka.

‘Sungguh, dia dahulu (di dunya) bergembira di kalangan keluarganya (yang sama-sama kafir).’
[Al-Insyiqaq:13]
Bukankah Allah memberi amaran tentang tipu daya dunya dan syaitan terhadap dunya itu? Bukankah ramai Nabi, para sahabat bahkan ‘alim juga memberi amaran tentang dunya ini menjadi penjara kepada orang mu’min? Mengapa kamu keluar dari penjara sementara untuk meletakkan diri dalam gaung berapi tiada jalan keluarnya? Mengapa engkau bergembira dengan kegembiraan sementara sedangkan kegembiraan abadi sedang menantimu?

‘Sesungguhnya dia mengira bahwa dia tidak akan kembali (kepada Tuhannya).’
[Al-Insyiqaq:14]
Atau adakah engkau lupa, bahkan yakin Allah hanya membiarkan kamu hidup di dunya, kemudian mati sebegitu sahaja tanpa menghisab segala amalanmu? Sungguh, kamu sudah melupakan kuasaNya yang agung.

‘Tidak demikian, sesungguhnya Allah selalu melihatnya.’
[Al-Insyiqaq:15]
Dan Allah akan sentiasa melihatmu, dari jasadmu ke hatimu, segala kebaikan dan kejahatan yang dilakukanmu. Maka takutlah engkau padaNya dan Dia sahaja.


Bersambung…




Friday 9 August 2013

.:: MOH TADDABUR AL-QURAN! : SURAH AL-INSYIQAQ (1/3) ::.


.:: MOH TADDABUR AL-QURAN! : SURAH AL- INSYIQAQ (1/3)::.



Dengan Lafaz Bismillah,

Assalamualaikum wbt,

Sucikanlah hatimu,
Dengan menghayati kata-kataNya padamu,
Melalui membaca Al-Quran dan taddabur ayatNya.
[Arani Anwah]

***
‘ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih,Maha Penyayang’
Sungguh, tiada apa yang lebih besar dari Ar-Rahman, Ar-Rahim Allah SWT. Kerna sifat Ar-Rahman-Nya, maka di dunya ini setiap makhluk merasa 1 dari 100 nikmat yang Allah janjikan. Kerna sifat Ar-Rahim-Nya, hanya orang yang beriman dan bertaqwa pada-Nya sahaja yang akan merasai 99 nikmat yang Allah janjikan.

‘Apabila langit terbelah. Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh.’
[Al-Insyqaq :1-2]
Tatkala Yaumul Qiyamah, langit yang sebelum ini menaungi kita dari panas terik matahari, akhirnya akan terbelah kerna patuhnya ia kepada Tuhannya, Penciptanya, ya’ni Allah. Langit yang tiada akal, hanya menuruti perintah Allah penciptanya. Apakah kalau ia ada akal, ia lebih mulia dari kita? Sedangkan tujuan penciptaan kita adalah sama, Cuma akal sahaja yang membezakan darjat kita.

‘Dan apabila bumi diratakan. Dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.’
[Al-Insyiqaq :3-4]
Tatkala Yaumul Qiamah, bumi sebelum ini ada pasak-pasak gunungnya, hancur kerna takutnya pada Penciptanya. Takut dan akur, kerna hari pembalasan akhirnya sudah tiba. Yang hidup akan bertempiaran lari kerna takut, dan akhirnya mati. Dan tatkala itu, apa yang mati terkubur dalam bumi akan bangkit, bangkit dari tanah. Mengetahui bahwa sudah tibanya hari kebangkitan dan pembalasan kepada setiap amal mereka tatkala nyawa masih dalam diri mereka.
‘Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.’
[Al-Insyiqaq :5]
Maka mengapa kamu masih tidak bangkit dan sedar dari permainan dan senda-gurau ini? Mengapa kamu memilih jalan lebih hina dari yang tidak berakal? Mengapa kamu masih ingkar padaNya sedangkan kamu tahu, kamu akan kembali dibangkitkan untuk dihisab segala amalmu?

‘Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah berkerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya.’
[Al-Insyiqaq :6]
Orang yang beriman, bertaqwa dan mengikhlaskan segala hidupnya di penjara dunya yang sementara, akan berjumpa denganNya yang sedia menanti hamba-hambaNya dengan redhaNya dan ganjaran dan nikmat yang hanya mereka merasainya. Hanya mereka yang merasainya di alam kekal abadi.

‘Maka adapun orang yang catatannya diberikan dari sebelah kanannya.Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah’
[Al-Insyiqaq :7-8]
Sebagaimana mereka yang meminta untuk ditunjukkan jalan yang lurus, maka keputusan amal serta kedudukan mereka di sisi Allah juga lurus. Tiada cara lain yang menggembirakan mereka melainkan catatan diberikan pada kanannya, bukan kiri mahupun belakang. Dan itulah petanda kepada kebahagiaan mereka di akhirat kelak.

‘Dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.
[Al-Insyiqaq :9]
Dan syurgalah tempat kembali mereka yang terbaik. Bersama keluarganya ya’ni orang yang beriman dan bertaqwa pada Allah tidak kira darjat, warna kulit, bahkan keturunan dan darah daging mereka yang dipandang tatkala di dunya yang sementara.



Bersambung…

 

Sunday 14 July 2013

.:: PERTANDINGAN :- HIJRAH SI MAWAR BIRU BERDURI ::.

.:: PERTANDINGAN :- HIJRAH SI MAWAR BIRU BERDURI ::.


Dengan lafaz Bismillah,

‘Ya Arani, apakah bezanya wanita bukan muslim dan wanita muslim?’

‘Wanita muslim di kalangan wanita bukan muslim itu diibaratkan bunga mawar berduri dalam kalangan bunga-bunga yang lain di sebuah kebun bunga. Kecantikannya menonjol, menarik perhatian makhluk lain namun sukar didekati, dan menjadi simbol sepanjang zaman untuk kebun itu.’

‘Apakah kebun itu?’

‘Kebun itu diibaratkan dunya ini, dan bunga itu perhiasan tercantik di kebun itu.’

‘Oh,begitu.’

Ana mengangguk-angguk kepalanya. Arani, sahabatku yang muncul dalam mimpiku kadang-kala itu tersenyum. Dia bingkas bangun, sebelum kita habis bertadarus bersama-sama dan membincangkan lagi mengenai isi hati dan bagaimana cara Islam menyelesaikannya. Dia berpaling dariku, dan mula berjalan ke cahaya yang ana tidak mungkin mampu capainya. Aku tahu, bila dia ke sana, tidakku ketahui bila aku akan jumpanya kembali, kerna biasanya dia datang menjumpaiku, bukan aku menjumpainya.

‘Ukhti Arani! Kalau begitu, bagaimana pula dengan wanita muttaqin atau wanita mukminah?’ Aku menjerit padanya, mengharapkan dia mendengarnya dan meluangkan masanya lagi denganku.
Langkahnya terhenti, dia berpaling padaku, memandangku dengan pandangan yang mendalam. Di sebalik niqab putihnya yang dipakai bersama jubah putih yang begitu suci kelihatan, aku tidak mampu melihat apa ekspresi wajahnya itu.

‘Ya ukhti.’ Dia bersuara. ‘Wanita mukminah itu lebih berharga, jauh lebih berharga dari wanita muslim. Jika wanita muslim itu diibaratkan bunga mawar, maka ketahuilah. Wanita mukminah itu diibaratkan seperti mawar biru yang berduri. Mawar biru yang sukar didekati, sukar juga untuk dikesani. Maka jadilah wanita mukminah itu, kerna ia adalah perhiasan yang terbaik bahkan jarang di dunya ini.’

Lalu dia pun menghilang…

***
Wanita bertaqwa itu diibaratkan seperti mawar berduri, sukar didekati, sukar pula untuk dikesani
[AraniAnwah]

Sejak ana mendapat mimpi itu, ana tidak dapat berhenti memikirkan kata-katanya itu. Dan kerna itu, ana mula sedar. Sekiranya wanita muslimah itu begitu sukar untuk kita jadi, apatah lagi untuk menjadi seorang wanita yang mukminah dan bertaqwa. Dan kerna itu, ana sedar, penghijrahan kita bukan setakat berhenti untuk menjadi wanita muslimah sahaja, bahkan untuk menjadi wanita bertaqwa itu.

Namun begitu, bukanlah dinamakan seorang dai’e juga, jika dia tidak mengajak saudara seislamnya, bahkan yang bukan Islam jua untuk menjejaki redhaNya di dunya dan akhirat. Dan ana sedar, jika ana tidak melaksanakan jua tugas ini untuk membawa kaum hawa untuk menjadi golongan mukminah dan bertaqwa itu, maka ana tidak layak untuk menghadap di hadapan Al-Azim dan mengatakan ana sudah melaksanakan tanggungjawab ana sebagai dae’i.

Oleh itu, inilah menjadi sumber ilham ana untuk membuat satu pertandingan yang diilhamkan oleh mimpi ini, dan bertemakan ‘Hijrah Si Mawar Biru Berduri’

Dan ana berharap, insyaAllah ini mampu menjadi saham ana dan saham antenna semua.
InsyaAllah.


Dengan ini, ini adalah butiran pertandingan ini.


>>>SYARAT-SYARAT PERNYERTAAN<<<

1.       Ucapkanlah Bismillah, dan niatkan dalam hati untuk Lillahi Ta’ala.
‘Sesungguhnya setiap amal itu diterima berdasarkan niat’

2.       Pertandingan ini terbuka kepada ikhwah dan akhawat.
Untuk Akhawat :- Ceritakan pengalaman antunna bagaimana terbit dalam hati antunna untuk berhijrah ke arah lebih baik dan kalau ada cabaran dan dugaan apakah yang antunna lakukan.
Untuk ikhwah :- Ceritakan tentang siapa akhawat yang mungkin antumma mahu mereka berhijrah, dan mengapa mereka? Cerita juga apa yang antumma lakukan untuk mereka berubah.

3.       Karya mestilah asli dan bukan diciplak.
!Ceritalah dari lubuk hatimu, dan janganlah cuba untuk merekakan sesuatu yang bukan benar terjadi!

4.       Gunakan kreativiti anda untuk menceritakan apa yang anda mahu, sama ada dalam puisi, cerpen,gambar, bahkan jika lirik lagu mahupun video pun boleh.

5.       Gunakan ejaan penuh, bukan SMS

6.       Hantarkan pada inbox Arani Anwah : Dae’I Menuju Penghijrahan penyertaan anda itu.
!Penghantaran di komen, tidak akan dilayan!

7.       Setiap orang hanya hantar satu pernyertaan sahaja.

8.       Pertandingan adalah dari 14/07/2013 hingga 20/08/2013.

9.       Pemenang akan diumumkan di blog ini serta di page Arani Anwah : Dae’I Menuju Penghijrahan.

>>> HADIAH PERTANDINGAN<<<

~HADIAH PERTAMA~
-Abaya hitam
-Tudung Mesir (Petak besar/Petak kecil/Jalur/Kosong)
!Corak dan warna mengikut pilihan pemenang!
-Niqab 2 lapis
-Stokin Sandy
-Handsock
-Sarung tangan

~HADIAH KEDUA~
-Tudung Mesir (Petak besar/Petak kecil/Jalur/Kosong)
!Corak dan warna mengikut pilihan pemenang!
-Niqab 2 lapis
-Stokin Sandy
-Handsock
-Sarung tangan

~HADIAH KETIGA~
-Niqab 2 lapis
-Stokin Sandy
-Handsock
-Sarung tangan

~HADIAH TAMBAHAN UNTUK PERTAMA,KEDUA,KETIGA MENGIKUT JANTINA~
IKHWAH :- JUBAH LELAKI LENGAN PENDEK
AKHAWAT :- JUBAH COTTON MESIR

InsyaAllah, marilah kita menjadi dae’imengajak ummah kita untuk berubah, berubah ke jalan redhaNya.


Wallahu’alam.