Saturday 27 October 2012

.:: AVOID IKHTILAT OR CONTROL IKHTILAT? OR EVEN MORE, SAY YES FOR IKHTILAT! OOPS! ::.


.:: AVOID IKHTILAT OR CONTROL IKHTILAT? OR EVEN MORE, SAY YES FOR IKHTILAT! OOPS! ::.



Dengan lafaz Bismillah,

                Sudah agak lama ana tidak menulis di dalam blog ini. Maaf, beribu-ribu keampunan dipinta. Bukan tidak mahu, tetapi kekangan masa yang membuat ana tidak berpeluang untuk menulis. Bukan kerna jemu, tetapi kerna tugas dan amanah sebagai seorang pelajar kini lebih bertambah dari sebelum ini. Maaf, beribu-ribu kemaafan dipinta. InsyaAllah akan cuba untuk menebusnya dengan sebaik mungkin.

InsyaAllah.
                Baiklah, tanpa membuang masa, mesti ramai yang hairan dengan tajuk entry kali ini. Ada yang ana pasti 100% (bukan semua, bukan segelintir, tetapi ana rasa sesetengah sahaja) pasti melenting dengan kata-kata CONTROL IKHTILAT,apatah lagi SAY YES FOR IKHTILAT.

Mengapa?

Mungkin kerna…

"Eh, sejak bila Arani Anwah ni mula nak meringan-ringankan hukum bab ikhtilat ni?"

" Ah, memang sah dah sesat ni! Tak pasal- pasal nak kata tak payah 'avoid' ikhtilat ni!"

" Ingatkan, bila dah sampai bumi Mesir tu, makin bertambah ilmunya. Tapi… Ish ish ish"
*Menepuk muka sendiri

Tidak kurang juga di sebelah pihak lain, ada yang berseronok, bertepuk tangan membaca tajuk itu. Merasakan yang akhirnya, ada juga yang menyokong mereka untuk menentang sekeras-kerasnya berkenaan tentang ikhtilat dan penentangan sekeras-kerasnya.

Jadi sebelum apa- apa lagi yang dipersoalkan dan kritikan teruk ana dapat, ana akan terangkan yang ana mengamalkan konsep WASATIYAH! Namun wasatiyah ana ini bukanlah sampai mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram! Dan ingin ana tekankan bahwa ini hanya pendapat ana, dan ana ini bukannya memegang title ustazah yang begitu dikenali sebagai tinggi ilmu agamanya.

Tidak! La'a! Khoto'!

Ana hanyalah seorang insan yang hina yang masih jahil yang masih menimba ilmu. Semua yang ana tulis dalam laman blog ini hanyalah sekadar pendapat, dan apa yang ana dapat simpulkan dari apa hadapi, rasai dan alami sendiri dari kehidupan ana.

Jadi,sekali lagi dengan lafaz Bismillah.

                Ana mengambil keputusan untuk membuat kupasan tentang ini kerna DUA PERKARA yang ana hadapi sepanjang 'uzlah' ana dari laman blog ini (Sekali lagi, mohon maaf untuknya).

                Pertama, kerna ana ternampak satu logo di laman web yang menggunakan kata-kata KAWAL IKHTILAT, BUKAN ELAKKANNYA! Ana tidak pasti sama ada ia adalah dari orang yang berfikiran liberal, yang mengikuti akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah mahupun orang yang bukan beragama Islam sekali. Tetapi logo itu telah cukup buat ana bertambah cakna dan berasa ingin tahu tentang apa mesej yang cuba ingin disampaikannya.

                Kedua, adalah kerna selepas ana berhadapan dengan asbab pertama tadi, ana tiba-tiba didatangi dengan 3 jenis golongan. Semuanya beragama, semuanya berilmu tinggi, dan semuanya berakhlak mulia. Cuma yang membezakan mereka bertiga ini adalah pandangan mereka tentang ikhtilat.

Golongan 1:- Mengatakan bahawa ikhtilat ini adalah sememangnya perlu dielakkan dan haram serta berdosa sekiranya kita masih lagi mendekati ikhtilat ini.
Golongan 2:- Mengatakan bahawa ikhtilat ini perlu dikawal dan bukannya perlu diharamkan sepenuhnya dan bukannya dihalalkan sepenuhnya.
Golongan 3:- Mengatakan bahawa ikhtilat ini tidak sepatutnya diharamkan, malah sepatutnya diberikan kebebasan sepenuhnya untuk kemajuan bersama-sama.

Sahabat-sahabatku yang disuntik dengan sifat jihad demi ilmuNya,
Pada pendapat anda, yang manakah patut kita pilih?
Adakah yang pertama?
Ataupun yang kedua?
Ataupun yang ketiga?
Adakah ini akan meletakkan jurang yang amat besar antara kita semua?
Atau masih ada solusi yang dapat menyelesaikan  perbezaan pendapat ini?

Pendapat ana?
Pada permulaannya untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlulah mengkaji apa sebenarnya ikhtilat ini. Ikhtilat, definisinya adalah PERGAULAN SECARA BEBAS antara lelaki dan perempuan yang ajnabi sama ada di tempat sunyi mahupun terbuka.

Sebelum ana mengambil keputusan untuk menulis perihal ini, ana turut berusaha untuk mencari pendapat ulama' kotemporari yang turut menyentuh dan menjawab perihal ini.

Ada ulama' yang ana dapati memfatwakan bahawa ikhtilat ini haram secara mutlak hukumnya kecuali jika ada niat dan azam untuk menikahinya.
Ada juga yang mengharuskan ikhtilat ini BERSANDARKAN dengan syarat-syarat tertentu.

Ikhtilat turut mempunyai perbezaan pendapat terhadap hukumnya. Meskipun begitu, adakah ini membawa maksud bahwa ia boleh diambil ringan? Jawapannya tentulah TIDAK. Kerna ini turut mengambil kira kemashalatan masyarakat Islam dan bukan Islam di muka bumi, dan yang paling penting sekali agama Islam itu sendiri.

Mari kita selidiki pula, tentang pandangan ketiga-tiga golongan yang ana katakan tadi.

GOLONGAN 1:- GOLONGAN ANTI-IKHTILAT
                Pendapat yang mereka bawakan ini adalah bertujuan dan nawaitu mereka adalah untuk mengelakkan segala perkara yang membawa ke arah maksiat dan perkara yang lagha. Mereka mengambil langkah ini dengan berpegang pada ayat 'La takrabu zina' (Jangan mendekati zina) dengan mengengkang segala perkara yang membawa ke arah zina.Nawaitu mereka baik, kerna ingin mengelakkan segala kemungkaran berkaitan dengan hubungan sesama kaum berlainan jenis, tetapi mungkin terlalu syadid sehingga menutup segala pintu hubungan antara kedua-duanya.

GOLONGAN 2:- GOLONGAN BUKAN PRO-IKHTILAT, BUKAN ANTI-IKHTILAT, TETAPI KAWAL IKHTILAT
                Pendapat ini mengambil konsep wasatiyah ya'ni tidak memberatkan antara keduanya. Tidak mengharamkan secara mutlak ikhtilat, berpegang kepada mengawalnya sebelum menjadi parah dan bukannya mengelakkannya. Mengharuskan ikhtilat bersertakan syarat, dan bukannya menghalalkannya secara total. Hal ini demi kemakmuran bersama dan bukannya untuk sesetengah pihak semata-mata.

GOLONGAN 3:-GOLONGAN PRO-IKHTILAT
                Pendapat ini menarik minat ana.  Bukan kerna ana menyokong, tidak sama sekali.Tetapi kerna asbab mereka untuk menghalalkan ikhtilat ini. Ini kerna mereka berpendapat bahawa lelaki dan perempuan dicipta untuk menolong untuk satu sama lain, untuk berpasangan antara satu sama lain, dan juga untuk menasihati satu sama lain ke arah lebih baik. Semuanya ke arah kebaikan, tetapi untuk ke arah kebaikan itu, maka ikhtilat ini haruslah dihalalkan dan bukan diharamkan secara total.

Ketiga-tiga pandangan yang baik,
Semuanya membawa ke arah kebaikan,
Dan tiada satu yang membawa ke arah keburukan,
Namun inilah yang menjadi punca jurang perbezaan antara mereka?
Mengapa?
Mengapa jadi begini?
Sedangkan ia adalah untuk kebaikan bersama?
Untuk menegakkan syiar Islam?
[AraniAnwah]

Sekarang tibalah masa untuk ana menyimpulkan semuanya dengan pendapat ana sendiri. Moga pendapat ana ini mampu diterima ramai dan sekiranya ada yang tidak puas hati, maka teguran serta kritikan amatlah dialu-alukan.

PENDAPAT ANA (ARANI ANWAH)

                Ana menyokong ketiga-tiga sekali, tetapi bukan menerimanya secara total, tetapi menerimanya sebagai pelengkap untuk yang lain.

                Dalam kehidupan ana kini, ana terus-terang ana terpaksa banyak bergaul dengan lelaki ajnabi yang bukan halal bagi ana. Tetapi itu tidak bermakna ana menerimanya dan tidak cuba untuk mengelakkannya. Tidak sama sekali!
                Ana berhubungan dengan mereka, ada asbabnya yang kukuh!
                Ada masanya ana berhadapan dengan peniaga lelaki, ana terpaksa bermuamalah dengan mereka kerna tiada lagi peniaga wanita ketika itu. Adakah itu bermakna ana sudah mengingkari perintah Allah?
                Ada masanya ana menimba ilmu dengan pensyarah lelaki, tidak kurang juga dengan syeikh-syeikh. Tetapi ana berguru dengan mereka dalam keadaan orang ramai dan bukannya berdua-dua. Sekiranya ada masa yang ana terdesak untuk bertanya dan menimba ilmu dengan mereka secara berdua, ana akan pastikan bahwa masanya itu akan ana cuba singkatkan dan terus ke perkara utama. Adakah itu sudah membuatkan ana berdosa?

                Ada masanya ana terpaksa berurusan dengan senior lelaki, bukan kerna kehendak ana. Tetapi atas urusan rasmi yang perlu diselesaikan, dan itupun mengikut tatacara dan etika yang ditetapkan sama ada dari makhlukNya ataupun Pencipta makhlukNya. Adakah itu telah membuat ana dilabel sebagai seorang yang social?

                Ada masanya ana terpaksa menolong dan tidak kurang juga ditolong untuk sahabat lelaki sendiri. Ada juga ana terpaksa menjadi orang tengah antara sahabat perempuan ana dengan mereka untuk kemashalatan bersama. Dan tika berurusan itu, tidak sekalipun disertai dengan perkara yang lagha dan ana pastikan bahawa sahabat lelaki itu memahami prinsip ana terhadap urusan itu.Tidak lebih dan tidak kurang. Adakah ana sudah menjadi seorang yang derhaka pada Allah?

                Kadang-kala, ana memahami bahawa ada sesetengah dari kita yang sudah terlajak dalam ikhtilat ini, sehinggakan amat sukar untuk dia berhenti sepenuhnya dari ikhtilat itu. Bukankah agama Islam ini agama fitrah?Agama yang bertoleransi kepada setiap makhluk Allah SWT di muka bumi ini? Bagi ana, solusi utama untuk mereka ini adalah bukannya dengan terus berhenti dan elak sepenuhnya dari ikhtilat, tetapi mengawalnya sedikit demi sedikit, lama-lama berkurangan sehingga akhirnya dia mampu mengelakkan dari ikhtilat yang mungkar secara total.

                Ana suka membaca ayatNya yang bermaksud,

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat,menunaikan zakat,dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya.,Mereka akan diberi rahmat oleh Allah,Sungguh,Allah Maha Perkasa,Maha Bijaksana"
[09:71]

                Manusia diciptakanNya lelaki dan perempuan ada asbabnya yang tersendiri. Allah menciptakan lelaki dan perempuan ini untuk menjadi penolong antara satu sama lain, dan bergaul secara disyariatNya untuk menolong satu sama lain serta menolong Islam kembali bangkit di bumi Allah ini. Malah mereka dijanjikan untuk mendapat rahmatNya di akhir nanti. TETAPI, itu semua berdasarkan syarat-syaratnya, ya'ni dengan menolong antara satu sama lain untuk perkara yang disyariatNya, BUKAN ke arah kemungkaran yang dibenciNya. Dengan manjaga batas-batas yang telah ditetapkan, bukan dengan  melanggar batas-batas pergaulan sehingga menggadaikan kesemuanya. [Nauzubillah min zalik!]

Secara kesimpulannya, ana tidak akan berlapang dada untuk mengharuskan hukum ikhtilat itu, dan pada waktu yang sama ana tidak akan mengharamkannya serta menghalakannya secara total. Apa yang ana hendak tekankan bahawa kita perlulah untuk memahami mengenai erti ikhtilat dan batas-batas ikhtilat dalam setiap urusan dan bukanlah sebaliknya.

Ana ingin mengakhiri entri kali ini dengan kata-kata Ustaz Fathullah Al-Haq mafhumnya " Ikhtilat dalam berkawan tidak sama dengan ikhtilat dalam bertunang." Dan ana berpegang pada prinsip ana " ELAKKAN IKHTILAT dalam perkara yang tidak diperlukan, dan KAWAL IKHTILAT dalam masyarakat yang masih belum mengenal erti ikhtilat yang sebenarnya."

Sekali lagi, mohon maaf atas ilmu ana yang kurang, dan segala kritikan dan pendapat amatlah dialu-alukan.



  Assalamualaikum.
Wallahu'alam.


Friday 26 October 2012

NAJMUSABBAH :- SENYUMAN ANIZATUL DALAM AIR MATA


Malam sudah melabuhkan tirainya. Bulan menjadi penerang kegelapan, dibantu oleh sinaran bintang- bintang kecil yang berkelipan. Sesiapa yang menghayati keindahan malam itu pasti akan memuji keindahan itu kepada Allah SWT. Bezanya antara orang yang bertaqwa pada Al-Khaliq dan yang lain adalah kepada mana pujian itu diberikan, adakah kepada bulan dan bintang itu sendiri mahupun pencipta kepada mereka.

                Bangunan asrama kaum hawa di bumi anbiya itu masih belum rasa lewatnya malam itu. Di aras sepuluh yang turut dikenali sebagai aras Mawar Berduri masih belum gelap. Para penghuninya masih leka berseronok bersama. Sama ada dengan menonton filem, bersembang mahupun menghabiskan masa dengan mendengar lagu. Hanya segelintir dari tujuh belas penghuni aras itu sahaja yang betul- betul fokus belajar, itupun hanya untuk setengah jam, paling lama satu jam.

                "Kreek," kedengaran pintu aras itu dibuka. Tiada orang menyedarinya. Si gadis it uterus memasuki ke bilik tidur utama, yang merupakan bilik paling besar dan menjadi port mereka ketika itu.

                "Assalamualaikum," kedengaran suara lembut bernada ceria dari depan muka pintu itu. Kesemua orang memalingkan muka mereka ke arah gadis pemberi salam itu. Gadis itu masih tersenyum, mukanya ternyata ceria ketika itu.

                "Waalaikumusalam, ha baru sampai? Ingatkan tak mari- mari tadi," sindir Anita, ketua aras itu disambut oleh tawa kecil dua orang sahabatnya yang leka bersembang bersamanya tadi. Gadis tadi hanya tersenyum, cuba mengelakkan dirinya terasa hati dengan sindiran tadi.

                "Maaf, tadi ada hal sekejap. Hal berkenaan dengan artikel dulu saya hantarkan pada Unit Penerbitan," jawab gadis itu. Dia pun turut mengambil tempat bersama mereka, melabuhkan punggungnya  di antara mereka.

                "Yeke Anizatul? Ke pergi berjumpa dengan senior lelaki yang bertugas malam ni? Macamlah kami tak tahu, hubungan awak dengan dia," kali ini Syahirah yang menyindir. Kawan-kawan lain mula mengiya-iyakan kata-katanya itu.

                "Ish, mana ada," gadis yang dipanggil dengan nama Anizatul itu menidakkannya. " Saya pergi selesaikan masalah artikel saya tu. Ada kesilapan dalam dateline penghantaran artikel. Itu yang ambil masa lama nak jelaskan dan nak bincang balik tentang penerbitan artikel tu."

                "Alah Anizatul.Apa susah? Awak pun tahu senior tu minat dekat engkau, sampai sanggup ber-SMS tengah malam dengan engkau tentang hal-hal ini. Engkau ayatlah dia sikit, mesti dapat punya!" kata Anita. Yang lain sudah berdekah-dekah tawa mereka. Ada yang sudah bersiul lagi pada pernyataan Anita itu.

                Anizatul mula tidak selesa dengan kelakuan sahabatnya itu. Memang betul, kadang-kala senior itu ada menghantar SMS kepadanya lewat malam, tapi ia memang berkenaan dengan urusan rasmi yakni berhubung dengan artikel yang sentiasa dihantarnya setiap bulan. Tetapi dia sedar akan batasnya juga. Dia tidak membalas SMS itu sekiranya sudah melebihi pukul 12 tengah malam dan akan membalasnya dengan hanya menyentuh tentang hal urusan itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dan itulah yang muktamad.

                "Haha sudah, sudah. Kesian Anizatul nanti," Maisarah cuba meredakannya, meskipun dialah yang paling kuat ketawa tadi. Anizatul  cuba berbaik sangka dengannya. "Bukankah, Anizatul ni jaga dia punya pergaulan? Yalah, diakan dikenali sebagai Ustazah Laman Sosial antara senior kita? Cuma yalah, manusia tak sempurna. Mesti ada kekurangannya, apatah lagi bila dah jadi orang popular ni."

                Ah, pedas sungguh kata-katanya itu! Kata-katanya itu membuatkan yang lain makin kuat mengenakannya, dan itu memang tidak mampu ditahan Anizatul. Anizatul bingkas bangun dan terus keluar dari bilik itu.

                "Eh eh? Dah merajuk? Ala apalah dia ni?! Orang gurau sikit pun tak boleh! Ustazah Laman Sosial!Haha!" kata-kata itu mengiringi pemergian Anizatul dengan hatinya yang panas dengan kata-kata mereka dan gelak tawa mereka itu keluar dari aras itu ke lif. Dia terus menekan punat butang lif ke tingkat yang paling atas, mudah-mudahan di sana dia mampu menyejukkan kembali hatinya itu.

Sekiranya tidak mampu untuk menahan dari berburuk sangka serta amarah anda, jauhilah dari mereka yang menjadi punca itu. Bukan untuk memutuskan sillaturahim, tetapi  untuk menjaga hati dari terus ditusuk oleh pedang syaitan.
[Arani Anwah]

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,
Apa yang di langit dan bumi  bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Miliknya kerajaan langit dan bumi,Dia menghidupkan dan mematikan,dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dialah yang Awal,yang Akhir,yang Zahir dan yang Batin,dan Dialah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya,apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana.Dan Dia bersama dengan kamu di mana kamu berada.Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Miliknya kerajaan langit dan bumi.Dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.
Dia memasuki malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
[Al-Hadid :1-6]

`               Air matanya kembali menitis mengenai muka surat kitab Al-Quran dan tafsirnya itu. Bertemankan bulan dan bintang sebagai lampunya, hembusan angin malam sebagai kipasnya, Anizatul menenangkan fikirannya dengan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah SWT di atas bumbung asrama itu. Dari situ, dia turut memerhatikan pemandangan kawasan bandar sambil cuba untuk melatihkan diri untuk memuji kepada Allah SWT dan juga berbaik sangka kepada semua perkara.
                "Ya Allah," air matanya makin deras mengalir tatkala menyebut nama Rabbnya itu.
" Berilah kekuatan untuk diriku untuk berubah. Ku sedar, ilmuku tidak tinggi, ku sedar, diriku masih tewas dengan dunya, dan ku yakin, apa yang diriku ini adalah salah di mata mereka. Tetapi aku masih berpegang pada kata-kataMu. Aku masih berpegang pada janjiMu untuk sentiasa bersama dengan orang yang merapati diri mereka kepada Engkau. Ya Allah, berikanlah diriku ketabahan hati untuk menerima kekurangan diriku dan diri mereka, prasangkaku dan prasangka mereka terhadap diriku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui keadaan diriku yang sebenar, dan mereka tidak boleh dipersalahkan untuk semuanya. Semua ini telah aku pilih sendiri, untuk hanya mengadu padaMu dan hanyaMu sahaja. Ya Allah…"

                Doanya itu tidak mampu ditutur lagi. Air mata sahaja yang mampu mengalir dan menemaninya malam itu. Rasa lemah terus menguasai diri, mengharapkan kekuatan serta pengampunan dari Al- Ghafur yang sentiasa mendengar rintihannya.

***
                "Ooi Anizatul! Bangunlah! Nak dekat zohor pun tidur lagi! Apa jenis perempuanlah engkau ini!" jerkah Maisarah yang  terus mengejutkan bukan sahaja fizikal Anizatul untuk sedar dari tidur, tetapi juga jantungnya dan mindanya. Anizatul bingkas berdiri namun tiba-tiba dia terduduk kembali. Matanya gelap tiba-tiba dan badannya juga makin lemah.
                "Ya Allah, mengapa dengan diriku ini tiba-tiba. Berikanlah kekuatan pada diriku yang lemah ini!" doanya dalam hati lalu cuba gagahkan dirinya untuk berdiri dan bersihkan diri serta mengambil wuduk.
                Seusai menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah bersama ahlil baitnya, Anizatul kembali ke katilnya untuk baring. Badannya tiba-tiba rasa lemah dan lemah ini bukan seperti sebelumnya. Kali ini jantungnya berdegup lemah. Anizatul memeriksa denyutan nadinya. Perlahan dan amat sedikit.
                " Anizatul, jom! Kita keluar pergi jalan-jalan!" kata Farhana, rakan di bilik sebelahnya. Anizatul menggeleng kepalanya, tidak mampu untuk bercakap. Farhana mula mencebik bibirnya.
                "Alah, tak syoklah engkau ni! Orang masa cuti nilah nak keluar. Nak berseronok! Engkau? Duduk terperap dalam asrama!" Farhana bersuara lantang.
                " Bukan saya tak mahu," jawab Anizatul lemah. "Tetapi saya tak ulangkaji pelajaran lagi. Lagipun-"
                "Eh, itu bukan salah kami! Kami tak suruh pun awak tidur sampai waktu zohor," kali ini Maisarah pula bersuara. Telinga Anizatul berdesing mendengarnya. "Ustazah konon! Harap bertudung labuh semua, solat sunat dhuha tak nak pula buat!"
                Hilang kata-kata, Anizatul mengalah dengan bersiap-siap. Dia menggagahkan dirinya untuk keluar bersama Farhana dan Maisarah itu. Memang betul kata mereka, bukan slaah mereka Anizatul tidak ulangkaji pelajaran waktu pagi. Salah dia juga tidak sedar terlajak tidur sampai waktu Zohor selepas solat Subuh. Keletihan badan menguasainya. Dari itu, dia berazam untuk tidak mengulangi perkara yang sama.
                " Hoi Anizatul lambat lagi ke?!" kedengaran suara Farhana dari luar pintu aras. Anizatul masih bersiap memakai tudungnya.
                " Kamu semua pergilah dulu tunggu di bawah! Nanti saya menyusul!" Anizatul menjerit dari dalam. Tidak mendengar sebarang suara, Anizatul menjangka mereka sudah turun sebelum dia menjerit tadi.
                Anizatul bergegas bersiap lalu menaiki lif untuk ke bawah.  Di dalam lif dia masih lagi cuba menggagahkan dirinya serta mengawal nafasnya yang makin tidak teratur.  Apabila pintu lif terbuka, dia terus keluar tanpa melihat ke hadapan. 
                " Dush!"
                " Ya Allah! Aduh sakitnya!" Anizatul terduduk sambil tangannya memegang bahunya. Bahunya berdenyut kesakitan akibat terlanggar sesuatu tadi. Matanya kembali berpinar-pinar tetapi cuba mengendahkannya.
                "Masya-Allah! Minta maaf sangat-sangat. Boleh saya tolong?" kedengaran suara lembut, tetapi cukup dikenalinya dari atasnya. Anizatul cuba membuka matanya dan memandang ke arah punca suara itu. Anizatul terkejut. Dia lantas bangun lalu cepat mengatur langkahnya ke pintu.
                " Eh, Anizatul tunggu! Bahu awak berdarah!" langkah Anizatul terhenti mendengar kata-kata itu. Anizatul menoleh ke arah bahunya yang masih berdenyut itu. Memang ternyata ada tompok darah, tetapi tidak banyak. Otaknya berfikir bahawa dia mesti belanggar dengan sesuatu yang tajam sehingga menyebabkan luka di bahunya. Tiba-tiba kain hitam menutupi bahunya yang berdarah itu, dan sesaat kemudia baru Anizatul menyedari bahawa itu adalah kemeja hitam. Anizatul memandang ke belakang.
                " Maaf Anizatul," suara milik Mohammed Akram itu berbicara. "Salah saya kerna tidak memandang ke arah saya berjalan. Sekarang bahu awak berdarah kerana terlanggar besi tajam ini," Akram berkata sambil menunjuk ke arah besi tajam yang dipegangnya. Anizatul hanya mendiamkan diri. Melihat tiada respons Akram kembali bersuara.

                " Nampaknya awak hendak keluar dari asrama ini. Ambillah kemeja itu untuk lindung bahu awak yang berdarah itu. Saya pasti awak tak nak orang tahu awak terluka, dan saya juga pasti awak hendak bergegas keluar. Jangan risau, kemeja itu bukan milik saya, tetapi adik perempuan saya punya."

                "Terima kasih," Anizatul bertutur lembut tetapi tidak sempat dihabiskannya. Maisarah dan Farhana sudah mula menjerit namanya dari luar asrama. Anizatul terus bergegas keluar sehingga kemeja yang menutupi bahunya itu terjatuh. Akram tidak sempat untuk memanggilnya untuk mengambil kemeja itu.
               
"Anizatul-" hatinya mula menyebut nama gadis itu. Namun dia tersedar lalu beristighfar. Dia tidak boleh membiarkan syaitan untuk menguasai hatinya, lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan seorang insan bergelar hawa. Dia telah hampir melampaui batas sebagai seorang adam kepada seorang hawa tika itu, dan Allah SWT telah menyedarkannya kembali dari terus berfikir  tentang hawa itu yang diberi nama Anizatul Zaina.
                Akram bergerak menuju ke arah kemeja itu jatuh lalu dikutipnya. Di bawah Al-Quran itu terdapat senashkah Al-Quran berwarna coklat tua milik Anizatul yang cukup dikenalinya. Dia mengutip Al-Quran itu lalu membuka sehelai demi sehelai muka surat yang ditandakannya, sehingga tiba ke satu muka surat yang  ditanda dengan sehelai kertas kecil yang bertulis. Akram pun membacanya.
" Bismillah. Ar-Rahman. Ar-Rahim"

[Akan bersambung…]





Tuesday 23 October 2012

.:: BERJAYA DAN GAGAL, TAQWA MENJADI PILIHANNYA ::.

.:: BERJAYA DAN GAGAL, TAQWA MENJADI PILIHANNYA ::.



Dengan Lafaz Bismillah,

Dimulakan dengan suatu perkara dan amal itu dengan nawaitu Lillahi Ta'ala
Kemudian diiringi dengan usaha yang baik dan tidak bertentangan dengan fitrah suci agama Islam
Secara fizikal, mahupun rohanii,kedua-duanya amat penting dan termasuk dalam penilaian Allah
Kemudian diakhiri dengan tawakal kepada ketentuanNya
Sedarlah
Bukanlah kejayaan itu dijadikan sebagai satu-satunya cara Allah tunjukkan balasan baiknya pada kita
Kerna kejayaan itu adalah suatu ujian jua untuk menguji kita sebagai seorang hamba yang bersyukur atas nikmatNya
Sedangkan kegagalan itu adalah satu dugaan yang mampu menjatuhkan kita
Bukan fizikal dan semangat kita,tetapi ego kita padaNya
Untuk kembali padaNya
Meraih pada kejayaan yang benar di mataNya
Yang benar-benar mendapat redhaNya
Kejayaan, mahupun kegagalan itu
Bukanlah penanda bahwa Allah benar-benar merestui kemenangan kita
Dan menghina kegagalan kita
Sebaliknya taqwa kita yang menjadi pilihanNya
Untuk menjadi penilaian siapa yang berhak
Berada di sisiNya di akhirat yang abadi kelak.

[AraniAnwah]

Wallahu'alam.




Tuesday 9 October 2012

.:: UKHWAH DAN AGAMA, TALI YANG TIDAK BOLEH DILEPASKAN ::.

.:: UKHWAH DAN AGAMA, TALI YANG TIDAK BOLEH DILEPASKAN ::.



Dengan lafaz Bismillah,

            Garis oren kekuningan mula terlihat di kaki langit. Pemandangan matahari terbenam dapat dilihat dari bumbung bangunan, menandakan waktu maghrib kian hampir. Bunyi-bunyi hon menjadi lagu pada telinga-telinga para pelajar di petang itu. Mawar-mawar berduri yang baru sahaja bercambah dan masih mengeluarkan kucupnya itu sedang menikmati suasana itu yang masih baru tetapi mampu diterima mereka mengikut peredaran masa berlalu. Saat bertukar minit, minit bertukar jam, dan jam bertukar hari. Sepanjang jarum jam mereka bergerak,sepanjang itulah mereka mempelajari dan menerima pengalaman baru di bumi para anbiya yang baru dijejaki mereka beberapa hari sebelumnya.

Kita laungkan Allahu Akhbar, Allah Maha Besar.

Hari yang indah,senyuman pertama,
Hulurkan salam ukhwah kita,
Berpesan mengingati, dituntut agama,
Kita bagaikan satu keluarga.

Sillaturahim ini tak aka berpisah,
Kita jalinkan seperti Rasullah dan sahabat.

Kita laungkan Allahu Akhbar Allah Maha Besar,
Seiring sehaluansatu cinta dan impian,
Susah dan senang kita tempuhi bersama,
Bertemu berpisah kerana Allah.

Demi satu kejayaan, penuh pengorbanan,
Keazaman juga ketabahan,
Inilah kehidupan, menuntut kesungguhan,
Tak semudah indahnya khayalan.

Sillaturrahim ini tak akan berpisah,
Berbahagialah untuk selamanya InsyaAllah.

Allahu Akhbar, Allah Maha Besar,
Lailahaillaha.

[Seiring Sehaluan- UNIC]

            Lagu itu dinyanyikan oleh para pelajar dengan penuh semangat oleh para pelajar dalam bulatan, Mata terpejam rapat, tangan menggengam kuat tangan rakan sebelahnya sambil hati cuba menyelami bait- bait lagu itu. Semua berada dalam khayalan masing-masing, membayangkan dalam fikiran mereka detik-detik manis yang bakal mereka hadapi bersama para sahabat sepanjang enam tahun. Sepanjang berjihad demi menuntut ilmu, bersama para sahabat di bumi anbiya dan firaun demi ilmu perubatan yang mampu melayakkan diri mereka dengan gelaran dan pekerjaan sebagai seorang pengamal perubatan muslim yang professional dunya dan akhirat, insyaAllah.

Kita laungkan Allahu Akhbar Allah Maha Besar,
Seiring sehaluan satu cita dan impian,
Susah  dan senang kita tempuhi bersama,
Bertemu berpisah kerana Allah.

            Tiba-tiba terdengar jeritan kecil di belakang. Bukan satu,bukan dua tetapi makin lama makin bertambah. Mata terbuka dan memandang ke belakang. Tangan rakan di sebelah tiba-tiba ditarik kuat dari kita. Kita cuba menahan genggaman kita pada mereka, namun tidak berdaya untuk melawan takdir Allah dengan kudrat diri yang serba lemah sebagai hanya hamba-Nya semata-mata. Tangan rakan sebelah lagi turut ditarik kuat oleh suatu kuasa jahat seolah-olah cuba memisahkan ikatan diri dengan rakan lain. Usaha dan kudrat yang masih ada digunakan untuk menahan malah melawan kuasa itu. Setelah lama bergelut lama, berhempas-pulas dan menghadapi kejatuhan yang tidak terkira,akhirnya kuasa itu mengalah dan genggaman itu masih kuat dan berkekalan.
           
            Perjuangan kian berakhir, kuasa itu sudah menghilang dan suasana semakin reda. Hati berasa gembira, tidak berhenti mengucapkan kesyukuran kepada Illahi. Genggaman bersama sahabat masih lagi kukuh dan bertambah lebih erat selepas itu. Namun di hati turut terbit rasa sayu tatkala melihat sebelah lagi tangan yang sudah kehilangan kehangatan genggaman tangan rakan yang akhirnya tewas. Sekiranya mampu diputar balik masa, akan lebih peka terhadap kuasa itu supaya rakan itu tidak akan hilang dari genggamannya dan masih akan berada bersama sehingga mencapai kejayaan ini.

***

Para sahabat yang disayangi,

            Pengalaman yang dialami sepanjang hidup kita tidak pernah tidak memberi sebarang makna dalam diri kita. Ada yang memberi kita rasa manisnya hidup, dan ada yang untuk menyedarkan kita dari kelekaan dan kelalaian beribadah kepadaNya.


            Sepanjang kehidupan kita, bagi ana ada dua elemen yang penting untuk menjadikan kita sebagai seorang yang berjaya dunya dan akhirat. Yang pada waktu yang sama, jika tersalah pilih, akan menarik kita ke jalan kegagalan dunya dan akhirat.

Agama,
Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) di antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat.Sesiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah,maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
[Al-Baqarah :256]

Sahabat,
Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaan-Nya,dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunya, dan janganlah engkau mengikuti orangnya yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas,
[Al-Kahf : 28]

Mengapa ana mengatakan sebegini?
Kerna keduanya sama tapi tak serupa,
Bila berpegang padanya, tidak akan terjatuh kita ke lembah kegagalan,
Dan jika melepaskannya mahupun mengambilnya secara lewa,
Maka kemungkinan untuk kita mencapai kejayaan diingini semakin terhakis.


            Sekiranya tali agama itu terputus dari kita, bukankah kita akan terjatuh ke lembah kemaksiatan? Sedangkan jika kita gunakan tali itu untuk mendaki ke arah puncak kejayaan kita ya’ni mengharapkan keredhaan-Nya, bukankah dengan senang kita akan mencapainya sekiranya kita benar-benar berpegang teguh padanya?

            Begitulah jua dengan tali ukhwah kita dengan para sahabat. Bukankah bila kita  melepaskan tali sillaturrahim kita dengan mereka yang benar-benar menjaga diri, agama serta hubungan mereka kerana Allah, kita akan lama- lama jatuh ke lembah kegagalan. Mengapa? Kerna tiada lagi yang akan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Kerna tiada lagi yang akan bersama dengan kita tatkala kita berasa kosong dari pengisian rohani malahan lebih teruk, membawa kita ke jalan  kehinaan atas sebab dorongan dan saranan sahabat yang tidak  mengerti pentingnya makanan rohani yang sebenar-benarnya pada diri kita.

            Sekiranya kita mengambil enteng kepada tali agama kita, tidak mempedulikan haram halal, hokum Al-Quran dan sunnah dan mengikut kemahuan nafsu semata-mata, bukankah itu turut akan membawa kita ke jalan kebinasaan? Malah bukan kita sahaja yang terlibat, malah masyarakat sekeliling juga akan terlibat sama dek sikap kita yang memandang kepada tali agama itu hanyalah suatu benda biasa sahaja.

…Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran…
[ An-Nisa’ : 135]

            Samalah jua dengan tali ukhwah kita. Sekiranya hanya mengikut hawa nafsu, keinginan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan sahabat kita yang lain. Bukankah itu yang akan menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka dari kita, sehinggakan satu tahap kita tinggal berseorangan. Malah lebih teruk jika kita sendiri mengajak mereka ke arah kehancuran diri. Bukankah itu sudah merugikan diri sendiri dan orang lain? Sedangkan hanya kerna kelalaian dan ketidakpekaan kita yang membuatkan kita ke arah kebinasaan?




Tali Allah jangan dilepas,
Kerna janji Allah akan berpegang pada kita sekiranya kita berpegang pada mereka,
Peganglah tali Allah,
Janganlah mengeluh tatkala memegang tali Allah,
Sesungguhnya mendaki gunung sekalipun ada menempuhi dugaan,
Dari tiupan angina kuat mahupun runtuhan batuan gunung,
Apatah lagi jika mendaki gunung ke arahNya,
Namun ingatlah,
Tatkala anda berjaya mendaki gunung itu,
Satu kepuasan akan meresapi hati,
Menjalar ke seluruh tubuh badan,
Sehingga satu senyuman menjelaskan kegembiraan tidak terkira,
Menghiasi muka yang penat  dan dibasahi dengan peluh kesungguhan,
Jadikanlah perasaan itu sebagai suatu motivasi,
Motivasi ke arahNya,
Bersama sahabatmu yang telah kau jalinkan persahabatan demiNya,
Demi meraih redhaNya,
Demi meraih nikmatNya,
Demi meraih Al-Jannah,
Bersama, Kini dan selamanya.
[AraniAnwah]

Wallahualam.
Assalamualaikum wbt.