Saturday 23 November 2013

.:: ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA ::

.:: ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA ::.

Dengan lafaz Bismillah,

Assalamualaikum wbt,

Rasa bosan mula menjelma dalam diri. Malam kian larut, namun mata masih tidak mahu dipejam. Mungkin ini adalah peringatan daripada-Nya mengenai akibat tidur berlebihan di siang hari, mungkin juga nikmat untuk beribadah di malam hari. Dan mungkin kerana kaca mata iman malam itu agak-agak kabur, maka sukar untuk membezakan yang mana satu yang betul.

Pen diletak. Buku teks Pathology yang ditelaah juga ditutup. Keluhan kecil dilepaskan selepas penat menelaah ilmu perubatan hampir dua jam. Mata pula beralih kepada computer riba berjenama Samsung di meja kecil di hadapan lantai. Laman web sosial Facebook dibuka dan tidak disentuh sejak mula menelaah. Diri ini terus mendekati komputer riba itu untuk melihat apa yang terbaru dan notifikasi terbaru yang dapat.

Tiada.

Tiada melainkan permintaan untuk permainan yang tak pernah diketahui oleh rakan-rakan. Sekali lagi melepaskan keluhan kecil, kali ini tanda diri ini mula dilanda kebosanan yang teramat. Dibuka pula tab baru lalu membuka laman web YouTube. 'Kis-My-Ft2' yang kutaip. Mengapa? Entahlah, tiba-tiba rasa mahu membukanya. Tiba-tiba nama artis kumpulan Jepun itu yang dibukanya, bukan Nouman Ali Khan, bukan Sheikh Yusuf, bukan Mishary.

Adakah futur mula mengetuk pintu hati? Oh tidak mungkin! Nauzubillah min zalik!

Namun jari ini masih tidak berhenti untuk melihat dan memilih salah satu video mereka untuk ditonton. Apakah yang cuba dilakukan ini?

Seusai sahaja melihat video itu, diri ini terdiam. Hati ini mula memberontak, akal pula mula ligat berfikir. Terus ditutup laman web itu dan dibuka Microsoft Word 2010. Dengan lafaz Bismillah, satu demi satu huruf mula ditaip.

'ALKISAH SI KIS-MY-FT2 DI KAPALNYA DAN SEPASANG KASUT RODA…'

HANYA BERGEMBIRA KERANA MENJUMPAI KASUT RODA

                Mata tidak terlepas pandang dari menonton video itu. Kekaguman timbul. Ya, kekaguman. Apabila melihat mereka yang muda dan mempunyai skil untuk menyanyi,menari dan menggunakan kasut roda sebagai aset mereka. Kagum dengan kesungguhan mereka yang akhirnya mereka mampu untuk berjaya menjadi seorang bintang. Tapi lebih dari itu, kagum dengan konsep video mereka.

                Erk?

                Eheh.

                Ya, konsep video mereka.

                Mereka, yang kebosanan di dalam sebuah kapal laut. Kapal laut penuh dengan harta karun. Penuh dengan kemewahan. Kerja mereka untuk mencari kegembiraan dengan harta karun itu. Namun hampa. Masih tidak dijumpai kegembiraan itu walaupun dengan harta karun yang menggunung, bahkan menyebabkan pergaduhan antara mereka. Saban hari, mencari dan mendapat harta karun. Bahkan apabila mereka sedang memancing pun mereka mendapat harta karun, namun itu hanya menambahkan kesedihan mereka. Sehinggalah…

                Jeng jeng jeng!

                Mereka berjaya memancing sepasang kasut roda. Yang membuat mereka sangat gembira. Ya, sangat gembira! Kasut roda yang menjadi aset mereka! Ikon mereka dan signature mereka.

                Dan akhirnya mereka mendapat kegembiraan yang mereka kecapi!

                Angkat kening mata.

                Masih tak faham?

                Kerana apa yang konsep mereka gunakan ini sebenarnya ada kaitan dengan kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

HIDUP INI HANYA SEKADAR SUATU TEMPAT PERSINGGAHAN…

                Hidup kita pun tidak lain tidak bukan seperti mereka yang terkurung di dalam kapal itu. Dikelilingi oleh nikmat hidup yang terlalu banyak, yang kadang-kala kita cuba untuk mencarinya, dan ada juga yang kita dapat tanpa kita dipinta.

'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang Engkau dustakan?'
[Ar-Rahman :13]
               
                Namun ada jua di antara kita yang menganggap nikmat itu adalah punca kegembiraan mereka, dan tanpanya mereka akan kehilangan kegembiraan itu. Tanpa mereka sedari, bahwa kegembiraan itu adalah punca kesedihan mereka.

'…dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal ia tidak baik untuk kamu.'
[Al-Baqarah : 216]

                Tetapi mereka melupakan sesuatu. Bahwa nikmat itu semata-mata bukanlah suatu kegembiraan bagi mereka. Bahwa mereka hidup itu bukan untuk nikmat itu semata-mata.

                Mereka lupa akan fitrah mereka. Fitrah mereka yang cenderung kepada Yang Maha Esa, Yang Maha Memberi nikmat itu dan Maha Pengasih terhadap mereka.

 Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah. Tetaplah pada fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.'
[Ar-Rum:30]

                Dan dari mana lagi untuk kita mencapai kegembiraan itu dari Dia yang mencipta kegembiraan itu?

                Senyum.

                Mari kita lihat para nabi, para rasul, para sahabat, para wali. Mereka hidup dalam serba kekurangan. Kalau diperhatikan betapa daifnya mereka, maka kita akan tertanya-tanya. Adakah mereka itu benar-benar bahagia dengan kehidupan mereka? Adakah mereka lakukan semua ini kerana terpaksa? Maka dari situ, timbul rasa simpati pada mereka.

                Namun hakikatnya, kalau kita suarakan itu pada mereka, maka yang sebaliknya akan dijawab. Demi mendekatkan diri dengan Allah, mereka rela korbankan semua yang kita panggilkan nikmat itu. Kerana dari situ mereka dapat merasa kegembiraan yang sebenarnya lagi kekal abadi. Kegembiraan yang tidak dapat dirasai melainkan mereka yang mempunyai fitrah yang sama.

                Kegembiraan kita bersama Illahi.

                Dan dari situ juga mereka sedari akan satu perkara.

                Bahwa dunia ini hanyalah satu tempat persinggahan. Hanya diibaratkan sedang menaiki kapal yang penuh dengan harta karun, namun tiada gunanya untuk bergembira kerananya kerana kegembiraan itu bukanlah kerana harta itu, tetapi yang memberi harta itu.

                Jadi, mari muhasabah diri kita balik.

                Mahukah kita masih leka dengan nikmat dan bergembira dengan suatu kegembiraan yang tiada kepastian?

                Atau kita mahu bergembira dengan kegembiraan yang kekal abadi bersama-Nya?

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment