Tuesday 9 October 2012

.:: UKHWAH DAN AGAMA, TALI YANG TIDAK BOLEH DILEPASKAN ::.

.:: UKHWAH DAN AGAMA, TALI YANG TIDAK BOLEH DILEPASKAN ::.



Dengan lafaz Bismillah,

            Garis oren kekuningan mula terlihat di kaki langit. Pemandangan matahari terbenam dapat dilihat dari bumbung bangunan, menandakan waktu maghrib kian hampir. Bunyi-bunyi hon menjadi lagu pada telinga-telinga para pelajar di petang itu. Mawar-mawar berduri yang baru sahaja bercambah dan masih mengeluarkan kucupnya itu sedang menikmati suasana itu yang masih baru tetapi mampu diterima mereka mengikut peredaran masa berlalu. Saat bertukar minit, minit bertukar jam, dan jam bertukar hari. Sepanjang jarum jam mereka bergerak,sepanjang itulah mereka mempelajari dan menerima pengalaman baru di bumi para anbiya yang baru dijejaki mereka beberapa hari sebelumnya.

Kita laungkan Allahu Akhbar, Allah Maha Besar.

Hari yang indah,senyuman pertama,
Hulurkan salam ukhwah kita,
Berpesan mengingati, dituntut agama,
Kita bagaikan satu keluarga.

Sillaturahim ini tak aka berpisah,
Kita jalinkan seperti Rasullah dan sahabat.

Kita laungkan Allahu Akhbar Allah Maha Besar,
Seiring sehaluansatu cinta dan impian,
Susah dan senang kita tempuhi bersama,
Bertemu berpisah kerana Allah.

Demi satu kejayaan, penuh pengorbanan,
Keazaman juga ketabahan,
Inilah kehidupan, menuntut kesungguhan,
Tak semudah indahnya khayalan.

Sillaturrahim ini tak akan berpisah,
Berbahagialah untuk selamanya InsyaAllah.

Allahu Akhbar, Allah Maha Besar,
Lailahaillaha.

[Seiring Sehaluan- UNIC]

            Lagu itu dinyanyikan oleh para pelajar dengan penuh semangat oleh para pelajar dalam bulatan, Mata terpejam rapat, tangan menggengam kuat tangan rakan sebelahnya sambil hati cuba menyelami bait- bait lagu itu. Semua berada dalam khayalan masing-masing, membayangkan dalam fikiran mereka detik-detik manis yang bakal mereka hadapi bersama para sahabat sepanjang enam tahun. Sepanjang berjihad demi menuntut ilmu, bersama para sahabat di bumi anbiya dan firaun demi ilmu perubatan yang mampu melayakkan diri mereka dengan gelaran dan pekerjaan sebagai seorang pengamal perubatan muslim yang professional dunya dan akhirat, insyaAllah.

Kita laungkan Allahu Akhbar Allah Maha Besar,
Seiring sehaluan satu cita dan impian,
Susah  dan senang kita tempuhi bersama,
Bertemu berpisah kerana Allah.

            Tiba-tiba terdengar jeritan kecil di belakang. Bukan satu,bukan dua tetapi makin lama makin bertambah. Mata terbuka dan memandang ke belakang. Tangan rakan di sebelah tiba-tiba ditarik kuat dari kita. Kita cuba menahan genggaman kita pada mereka, namun tidak berdaya untuk melawan takdir Allah dengan kudrat diri yang serba lemah sebagai hanya hamba-Nya semata-mata. Tangan rakan sebelah lagi turut ditarik kuat oleh suatu kuasa jahat seolah-olah cuba memisahkan ikatan diri dengan rakan lain. Usaha dan kudrat yang masih ada digunakan untuk menahan malah melawan kuasa itu. Setelah lama bergelut lama, berhempas-pulas dan menghadapi kejatuhan yang tidak terkira,akhirnya kuasa itu mengalah dan genggaman itu masih kuat dan berkekalan.
           
            Perjuangan kian berakhir, kuasa itu sudah menghilang dan suasana semakin reda. Hati berasa gembira, tidak berhenti mengucapkan kesyukuran kepada Illahi. Genggaman bersama sahabat masih lagi kukuh dan bertambah lebih erat selepas itu. Namun di hati turut terbit rasa sayu tatkala melihat sebelah lagi tangan yang sudah kehilangan kehangatan genggaman tangan rakan yang akhirnya tewas. Sekiranya mampu diputar balik masa, akan lebih peka terhadap kuasa itu supaya rakan itu tidak akan hilang dari genggamannya dan masih akan berada bersama sehingga mencapai kejayaan ini.

***

Para sahabat yang disayangi,

            Pengalaman yang dialami sepanjang hidup kita tidak pernah tidak memberi sebarang makna dalam diri kita. Ada yang memberi kita rasa manisnya hidup, dan ada yang untuk menyedarkan kita dari kelekaan dan kelalaian beribadah kepadaNya.


            Sepanjang kehidupan kita, bagi ana ada dua elemen yang penting untuk menjadikan kita sebagai seorang yang berjaya dunya dan akhirat. Yang pada waktu yang sama, jika tersalah pilih, akan menarik kita ke jalan kegagalan dunya dan akhirat.

Agama,
Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) di antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat.Sesiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah,maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
[Al-Baqarah :256]

Sahabat,
Dan bersabarlah engkau (wahai Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaan-Nya,dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunya, dan janganlah engkau mengikuti orangnya yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas,
[Al-Kahf : 28]

Mengapa ana mengatakan sebegini?
Kerna keduanya sama tapi tak serupa,
Bila berpegang padanya, tidak akan terjatuh kita ke lembah kegagalan,
Dan jika melepaskannya mahupun mengambilnya secara lewa,
Maka kemungkinan untuk kita mencapai kejayaan diingini semakin terhakis.


            Sekiranya tali agama itu terputus dari kita, bukankah kita akan terjatuh ke lembah kemaksiatan? Sedangkan jika kita gunakan tali itu untuk mendaki ke arah puncak kejayaan kita ya’ni mengharapkan keredhaan-Nya, bukankah dengan senang kita akan mencapainya sekiranya kita benar-benar berpegang teguh padanya?

            Begitulah jua dengan tali ukhwah kita dengan para sahabat. Bukankah bila kita  melepaskan tali sillaturrahim kita dengan mereka yang benar-benar menjaga diri, agama serta hubungan mereka kerana Allah, kita akan lama- lama jatuh ke lembah kegagalan. Mengapa? Kerna tiada lagi yang akan melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Kerna tiada lagi yang akan bersama dengan kita tatkala kita berasa kosong dari pengisian rohani malahan lebih teruk, membawa kita ke jalan  kehinaan atas sebab dorongan dan saranan sahabat yang tidak  mengerti pentingnya makanan rohani yang sebenar-benarnya pada diri kita.

            Sekiranya kita mengambil enteng kepada tali agama kita, tidak mempedulikan haram halal, hokum Al-Quran dan sunnah dan mengikut kemahuan nafsu semata-mata, bukankah itu turut akan membawa kita ke jalan kebinasaan? Malah bukan kita sahaja yang terlibat, malah masyarakat sekeliling juga akan terlibat sama dek sikap kita yang memandang kepada tali agama itu hanyalah suatu benda biasa sahaja.

…Maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran…
[ An-Nisa’ : 135]

            Samalah jua dengan tali ukhwah kita. Sekiranya hanya mengikut hawa nafsu, keinginan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan sahabat kita yang lain. Bukankah itu yang akan menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka dari kita, sehinggakan satu tahap kita tinggal berseorangan. Malah lebih teruk jika kita sendiri mengajak mereka ke arah kehancuran diri. Bukankah itu sudah merugikan diri sendiri dan orang lain? Sedangkan hanya kerna kelalaian dan ketidakpekaan kita yang membuatkan kita ke arah kebinasaan?




Tali Allah jangan dilepas,
Kerna janji Allah akan berpegang pada kita sekiranya kita berpegang pada mereka,
Peganglah tali Allah,
Janganlah mengeluh tatkala memegang tali Allah,
Sesungguhnya mendaki gunung sekalipun ada menempuhi dugaan,
Dari tiupan angina kuat mahupun runtuhan batuan gunung,
Apatah lagi jika mendaki gunung ke arahNya,
Namun ingatlah,
Tatkala anda berjaya mendaki gunung itu,
Satu kepuasan akan meresapi hati,
Menjalar ke seluruh tubuh badan,
Sehingga satu senyuman menjelaskan kegembiraan tidak terkira,
Menghiasi muka yang penat  dan dibasahi dengan peluh kesungguhan,
Jadikanlah perasaan itu sebagai suatu motivasi,
Motivasi ke arahNya,
Bersama sahabatmu yang telah kau jalinkan persahabatan demiNya,
Demi meraih redhaNya,
Demi meraih nikmatNya,
Demi meraih Al-Jannah,
Bersama, Kini dan selamanya.
[AraniAnwah]

Wallahualam.
Assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment