Friday 26 October 2012

NAJMUSABBAH :- SENYUMAN ANIZATUL DALAM AIR MATA


Malam sudah melabuhkan tirainya. Bulan menjadi penerang kegelapan, dibantu oleh sinaran bintang- bintang kecil yang berkelipan. Sesiapa yang menghayati keindahan malam itu pasti akan memuji keindahan itu kepada Allah SWT. Bezanya antara orang yang bertaqwa pada Al-Khaliq dan yang lain adalah kepada mana pujian itu diberikan, adakah kepada bulan dan bintang itu sendiri mahupun pencipta kepada mereka.

                Bangunan asrama kaum hawa di bumi anbiya itu masih belum rasa lewatnya malam itu. Di aras sepuluh yang turut dikenali sebagai aras Mawar Berduri masih belum gelap. Para penghuninya masih leka berseronok bersama. Sama ada dengan menonton filem, bersembang mahupun menghabiskan masa dengan mendengar lagu. Hanya segelintir dari tujuh belas penghuni aras itu sahaja yang betul- betul fokus belajar, itupun hanya untuk setengah jam, paling lama satu jam.

                "Kreek," kedengaran pintu aras itu dibuka. Tiada orang menyedarinya. Si gadis it uterus memasuki ke bilik tidur utama, yang merupakan bilik paling besar dan menjadi port mereka ketika itu.

                "Assalamualaikum," kedengaran suara lembut bernada ceria dari depan muka pintu itu. Kesemua orang memalingkan muka mereka ke arah gadis pemberi salam itu. Gadis itu masih tersenyum, mukanya ternyata ceria ketika itu.

                "Waalaikumusalam, ha baru sampai? Ingatkan tak mari- mari tadi," sindir Anita, ketua aras itu disambut oleh tawa kecil dua orang sahabatnya yang leka bersembang bersamanya tadi. Gadis tadi hanya tersenyum, cuba mengelakkan dirinya terasa hati dengan sindiran tadi.

                "Maaf, tadi ada hal sekejap. Hal berkenaan dengan artikel dulu saya hantarkan pada Unit Penerbitan," jawab gadis itu. Dia pun turut mengambil tempat bersama mereka, melabuhkan punggungnya  di antara mereka.

                "Yeke Anizatul? Ke pergi berjumpa dengan senior lelaki yang bertugas malam ni? Macamlah kami tak tahu, hubungan awak dengan dia," kali ini Syahirah yang menyindir. Kawan-kawan lain mula mengiya-iyakan kata-katanya itu.

                "Ish, mana ada," gadis yang dipanggil dengan nama Anizatul itu menidakkannya. " Saya pergi selesaikan masalah artikel saya tu. Ada kesilapan dalam dateline penghantaran artikel. Itu yang ambil masa lama nak jelaskan dan nak bincang balik tentang penerbitan artikel tu."

                "Alah Anizatul.Apa susah? Awak pun tahu senior tu minat dekat engkau, sampai sanggup ber-SMS tengah malam dengan engkau tentang hal-hal ini. Engkau ayatlah dia sikit, mesti dapat punya!" kata Anita. Yang lain sudah berdekah-dekah tawa mereka. Ada yang sudah bersiul lagi pada pernyataan Anita itu.

                Anizatul mula tidak selesa dengan kelakuan sahabatnya itu. Memang betul, kadang-kala senior itu ada menghantar SMS kepadanya lewat malam, tapi ia memang berkenaan dengan urusan rasmi yakni berhubung dengan artikel yang sentiasa dihantarnya setiap bulan. Tetapi dia sedar akan batasnya juga. Dia tidak membalas SMS itu sekiranya sudah melebihi pukul 12 tengah malam dan akan membalasnya dengan hanya menyentuh tentang hal urusan itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dan itulah yang muktamad.

                "Haha sudah, sudah. Kesian Anizatul nanti," Maisarah cuba meredakannya, meskipun dialah yang paling kuat ketawa tadi. Anizatul  cuba berbaik sangka dengannya. "Bukankah, Anizatul ni jaga dia punya pergaulan? Yalah, diakan dikenali sebagai Ustazah Laman Sosial antara senior kita? Cuma yalah, manusia tak sempurna. Mesti ada kekurangannya, apatah lagi bila dah jadi orang popular ni."

                Ah, pedas sungguh kata-katanya itu! Kata-katanya itu membuatkan yang lain makin kuat mengenakannya, dan itu memang tidak mampu ditahan Anizatul. Anizatul bingkas bangun dan terus keluar dari bilik itu.

                "Eh eh? Dah merajuk? Ala apalah dia ni?! Orang gurau sikit pun tak boleh! Ustazah Laman Sosial!Haha!" kata-kata itu mengiringi pemergian Anizatul dengan hatinya yang panas dengan kata-kata mereka dan gelak tawa mereka itu keluar dari aras itu ke lif. Dia terus menekan punat butang lif ke tingkat yang paling atas, mudah-mudahan di sana dia mampu menyejukkan kembali hatinya itu.

Sekiranya tidak mampu untuk menahan dari berburuk sangka serta amarah anda, jauhilah dari mereka yang menjadi punca itu. Bukan untuk memutuskan sillaturahim, tetapi  untuk menjaga hati dari terus ditusuk oleh pedang syaitan.
[Arani Anwah]

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,
Apa yang di langit dan bumi  bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
Miliknya kerajaan langit dan bumi,Dia menghidupkan dan mematikan,dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dialah yang Awal,yang Akhir,yang Zahir dan yang Batin,dan Dialah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya,apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana.Dan Dia bersama dengan kamu di mana kamu berada.Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Miliknya kerajaan langit dan bumi.Dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.
Dia memasuki malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
[Al-Hadid :1-6]

`               Air matanya kembali menitis mengenai muka surat kitab Al-Quran dan tafsirnya itu. Bertemankan bulan dan bintang sebagai lampunya, hembusan angin malam sebagai kipasnya, Anizatul menenangkan fikirannya dengan mentadabbur ayat-ayat cinta Allah SWT di atas bumbung asrama itu. Dari situ, dia turut memerhatikan pemandangan kawasan bandar sambil cuba untuk melatihkan diri untuk memuji kepada Allah SWT dan juga berbaik sangka kepada semua perkara.
                "Ya Allah," air matanya makin deras mengalir tatkala menyebut nama Rabbnya itu.
" Berilah kekuatan untuk diriku untuk berubah. Ku sedar, ilmuku tidak tinggi, ku sedar, diriku masih tewas dengan dunya, dan ku yakin, apa yang diriku ini adalah salah di mata mereka. Tetapi aku masih berpegang pada kata-kataMu. Aku masih berpegang pada janjiMu untuk sentiasa bersama dengan orang yang merapati diri mereka kepada Engkau. Ya Allah, berikanlah diriku ketabahan hati untuk menerima kekurangan diriku dan diri mereka, prasangkaku dan prasangka mereka terhadap diriku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui keadaan diriku yang sebenar, dan mereka tidak boleh dipersalahkan untuk semuanya. Semua ini telah aku pilih sendiri, untuk hanya mengadu padaMu dan hanyaMu sahaja. Ya Allah…"

                Doanya itu tidak mampu ditutur lagi. Air mata sahaja yang mampu mengalir dan menemaninya malam itu. Rasa lemah terus menguasai diri, mengharapkan kekuatan serta pengampunan dari Al- Ghafur yang sentiasa mendengar rintihannya.

***
                "Ooi Anizatul! Bangunlah! Nak dekat zohor pun tidur lagi! Apa jenis perempuanlah engkau ini!" jerkah Maisarah yang  terus mengejutkan bukan sahaja fizikal Anizatul untuk sedar dari tidur, tetapi juga jantungnya dan mindanya. Anizatul bingkas berdiri namun tiba-tiba dia terduduk kembali. Matanya gelap tiba-tiba dan badannya juga makin lemah.
                "Ya Allah, mengapa dengan diriku ini tiba-tiba. Berikanlah kekuatan pada diriku yang lemah ini!" doanya dalam hati lalu cuba gagahkan dirinya untuk berdiri dan bersihkan diri serta mengambil wuduk.
                Seusai menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah bersama ahlil baitnya, Anizatul kembali ke katilnya untuk baring. Badannya tiba-tiba rasa lemah dan lemah ini bukan seperti sebelumnya. Kali ini jantungnya berdegup lemah. Anizatul memeriksa denyutan nadinya. Perlahan dan amat sedikit.
                " Anizatul, jom! Kita keluar pergi jalan-jalan!" kata Farhana, rakan di bilik sebelahnya. Anizatul menggeleng kepalanya, tidak mampu untuk bercakap. Farhana mula mencebik bibirnya.
                "Alah, tak syoklah engkau ni! Orang masa cuti nilah nak keluar. Nak berseronok! Engkau? Duduk terperap dalam asrama!" Farhana bersuara lantang.
                " Bukan saya tak mahu," jawab Anizatul lemah. "Tetapi saya tak ulangkaji pelajaran lagi. Lagipun-"
                "Eh, itu bukan salah kami! Kami tak suruh pun awak tidur sampai waktu zohor," kali ini Maisarah pula bersuara. Telinga Anizatul berdesing mendengarnya. "Ustazah konon! Harap bertudung labuh semua, solat sunat dhuha tak nak pula buat!"
                Hilang kata-kata, Anizatul mengalah dengan bersiap-siap. Dia menggagahkan dirinya untuk keluar bersama Farhana dan Maisarah itu. Memang betul kata mereka, bukan slaah mereka Anizatul tidak ulangkaji pelajaran waktu pagi. Salah dia juga tidak sedar terlajak tidur sampai waktu Zohor selepas solat Subuh. Keletihan badan menguasainya. Dari itu, dia berazam untuk tidak mengulangi perkara yang sama.
                " Hoi Anizatul lambat lagi ke?!" kedengaran suara Farhana dari luar pintu aras. Anizatul masih bersiap memakai tudungnya.
                " Kamu semua pergilah dulu tunggu di bawah! Nanti saya menyusul!" Anizatul menjerit dari dalam. Tidak mendengar sebarang suara, Anizatul menjangka mereka sudah turun sebelum dia menjerit tadi.
                Anizatul bergegas bersiap lalu menaiki lif untuk ke bawah.  Di dalam lif dia masih lagi cuba menggagahkan dirinya serta mengawal nafasnya yang makin tidak teratur.  Apabila pintu lif terbuka, dia terus keluar tanpa melihat ke hadapan. 
                " Dush!"
                " Ya Allah! Aduh sakitnya!" Anizatul terduduk sambil tangannya memegang bahunya. Bahunya berdenyut kesakitan akibat terlanggar sesuatu tadi. Matanya kembali berpinar-pinar tetapi cuba mengendahkannya.
                "Masya-Allah! Minta maaf sangat-sangat. Boleh saya tolong?" kedengaran suara lembut, tetapi cukup dikenalinya dari atasnya. Anizatul cuba membuka matanya dan memandang ke arah punca suara itu. Anizatul terkejut. Dia lantas bangun lalu cepat mengatur langkahnya ke pintu.
                " Eh, Anizatul tunggu! Bahu awak berdarah!" langkah Anizatul terhenti mendengar kata-kata itu. Anizatul menoleh ke arah bahunya yang masih berdenyut itu. Memang ternyata ada tompok darah, tetapi tidak banyak. Otaknya berfikir bahawa dia mesti belanggar dengan sesuatu yang tajam sehingga menyebabkan luka di bahunya. Tiba-tiba kain hitam menutupi bahunya yang berdarah itu, dan sesaat kemudia baru Anizatul menyedari bahawa itu adalah kemeja hitam. Anizatul memandang ke belakang.
                " Maaf Anizatul," suara milik Mohammed Akram itu berbicara. "Salah saya kerna tidak memandang ke arah saya berjalan. Sekarang bahu awak berdarah kerana terlanggar besi tajam ini," Akram berkata sambil menunjuk ke arah besi tajam yang dipegangnya. Anizatul hanya mendiamkan diri. Melihat tiada respons Akram kembali bersuara.

                " Nampaknya awak hendak keluar dari asrama ini. Ambillah kemeja itu untuk lindung bahu awak yang berdarah itu. Saya pasti awak tak nak orang tahu awak terluka, dan saya juga pasti awak hendak bergegas keluar. Jangan risau, kemeja itu bukan milik saya, tetapi adik perempuan saya punya."

                "Terima kasih," Anizatul bertutur lembut tetapi tidak sempat dihabiskannya. Maisarah dan Farhana sudah mula menjerit namanya dari luar asrama. Anizatul terus bergegas keluar sehingga kemeja yang menutupi bahunya itu terjatuh. Akram tidak sempat untuk memanggilnya untuk mengambil kemeja itu.
               
"Anizatul-" hatinya mula menyebut nama gadis itu. Namun dia tersedar lalu beristighfar. Dia tidak boleh membiarkan syaitan untuk menguasai hatinya, lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan seorang insan bergelar hawa. Dia telah hampir melampaui batas sebagai seorang adam kepada seorang hawa tika itu, dan Allah SWT telah menyedarkannya kembali dari terus berfikir  tentang hawa itu yang diberi nama Anizatul Zaina.
                Akram bergerak menuju ke arah kemeja itu jatuh lalu dikutipnya. Di bawah Al-Quran itu terdapat senashkah Al-Quran berwarna coklat tua milik Anizatul yang cukup dikenalinya. Dia mengutip Al-Quran itu lalu membuka sehelai demi sehelai muka surat yang ditandakannya, sehingga tiba ke satu muka surat yang  ditanda dengan sehelai kertas kecil yang bertulis. Akram pun membacanya.
" Bismillah. Ar-Rahman. Ar-Rahim"

[Akan bersambung…]





No comments:

Post a Comment