Wednesday 5 September 2012

.:: IBADAH NAWAFIL :- BUKAN SETAKAT AMAL SAHAJA,ILMU PUN KENA ADA!::.

.:: IBADAH NAWAFIL :- BUKAN SETAKAT AMAL SAHAJA, ILMU PUN KENA ADA! ::.


Dengan lafaz Bismillah,

“Assalamualaikum warahmatullah,” salam kedua telah diberi menandakan berakhirnya solat sunat Rawatib Qabliah Zuhur. Tangan menadah sambil mulut bergerak perlahan, menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada  kekasihNya, diri sendiri, ibu bapa,keluarga, sahabat serta kaum muslimin dan muslimat sekalian. Dibisikkan pula doa-doa dengan nada perlahan supaya hanya Allah Yang Maha Mendengar sahaja mampu mendengarnya dan memakbulkan doa ringkasnya itu.
                Sesudah habis doa dibaca, kedua matanya terpandang ke sebuah Al-Quran tafsir tersusun bersama-sama buku Ilmiahnya di atas meja. Hatinya berbolak-balik sama ada ingin mencapainya untuk membacanya atau meneruskan solat fardhunya.
                “Alah, Imtinan, utamakan solat fardhu dahulu baru baca Al-Quran. Bukankah yang wajib dahulu perlu diutamakan? Baru  berkat hidup kita,” terasa syaitan membisikkan kata-kata itu pada hatinya yang mudah terpengaruh.
                “Tetapi,sekiranya aku tangguhkan,bila masa lagi aku ingin membacanya? Kalau nanti aku ada urusan bagaimana? Tak mungkin sempat aku buat ibadah nawafil ini. Semangat pun dah berkobar-kobar,” hati Imtinan mula berbisik.
                Fikirannya makin bercelaru, hatinya makin dilemahi dengan bisikan-bisikan syaitan supaya mengabaikan kitab yang mempunyai ayat-ayat cintaNya. Selepas beberapa saat, Imtinan menutup matanya.Nafasnya ditarik dan dilepasnya dengan istighfar dan selawat ke atas kekasihNya dengan harapan Allah SWT memberi petunjuk.
                Fikirannya mulai tenang dan matanya dibuka perlahan-lahan. Hatinya tekad dan pantas Imtinan mencapai Al-Qurannya itu dan membacanya dengan pantas namun masih berhati-hati supaya tidak lari bacaannya dan tajwidnya.
                “Allahu Akhbar Allahu Akhbar!” Kedengaran iqamat  di  bilik  ustazah Rohami di hadapannya. Imtinan bergegas ke biliknya dan mengetuk pintu bilik itu dengan perlahan sebelum menjenguk kepalanya ke dalam bilik itu.
                “Assalamualaikum ustazah, izinkan Imtinan bersolat jemaah dengan ustazah,” kata Imtinan lembut pada ustazahnya yang sedang membetulkan sejadahnya. Ustazah tersenyum lalu membuat isyarat supaya Imtinan masuk. Imtinan tersenyum lalu mengambil tempatnya di sebelah kanan ustazahnya.
                “ Alhamdulillah,syukur ke hadrat IllahiMu, engkau memberiku peluang untuk meraih pahala 27 kali ganda dengan solat jemaah dan juga memberi aku kekuatan untuk membaca sehelai muka surat dari KitabMu ya Allah,” bisik hati Imtinan sebelum melafazkan dua kalimah syahadah dan niat solat fardhu Zohor,menandakan ibadah fardhu bakal ditunaikan olehnya.

***
Tatkala ada semangat, beramallah dengan amalan fardhu dan nawafil, namun jika tiada semangat,pertahankanlah ibadah fardhumu.
-Saidina Ali RA-


Para sahabat yang dikasihi,

Pernah tak terasa sebagaimana Imtinan rasakan? Sesungguhnya kadang-kala hati kita mudah berbolak balik kerna dua perkara yang bagi kita Nampak sama pentingnya, tetapi hakikatnya jika kita mempunyai ilmu  kita boleh tahu yang mana perlu diutamakan dan mana tidak dalam masa tertentu mahupun sepanjang masa.
                Ana sendiri pernah merasakan sebegini jua,tatkala beribadah tiba-tiba ana dikuasai oleh satu semangat berkobar-kobar untuk melakukan lebih banyak ibadah nawafil ya’ni sunat. Namun pada waktu yang sama, ana tertanya-tanya juga sama ada adakah bila ana melakukan ibadah nawafil ini, adakah ana sudah mengabaikan ibadah fardhu ya’ni wajib di mata Allah?

Para An-Nas yang diamanahkan Allah SWT,
                Dalam situasi sebegini,kadang-kala kita perlu perhati dan tanya pada diri sendiri tentang kemampuan kita dalam beribadah itu jua. Antara yang perlu ditanya adalah :-

Adakah waktu yang ada kini ini mencukupi untuk aku melakukan ibadah ini ataupun tidak?

Sekiranya tidak, maka lebih baik diutamakan untuk melakukan yang fardhu dahulu daripada yang sunat. Misalannya, diibaratkan jika kita telah terlewat sampai ke masjid dan waktu itu imam sudah bertakbir untuk solat fardhu, maka diutamakan untuk solat fardhu daripada menunaikan solat rawatib dan tahiyatul masjid.

Adakah kita pasti bahawa peluang ini akan datang lagi pada masa akan datang?

Cuba fikirkan, anda sedang makan dan tiba-tiba ada anak yatim meminta bantuan derma  daripada anda. Adakah anda ingin membiarkannya atau terus memberi seringgit dua padanya? Sebelum anda mengambil keputusan untuk membuat pilihan antara kedua-dua itu, maka fikir-fikirkan dahulu, adakah mungkin Allah akan turunkan peluang ini lagi padaku sekiranya aku mengendahkan peluang ini sekarang?

Apakah yang perlu diutamakan antara kedua-dua ibadah nawafil ini,mahupun antara kedua-dua ibadah fardhu ini?

Itu termasuk dalam bidang fiqah ya’ni fiqah awlawiyat (fiqh keutamaan). Untuk mengetahui perbezaan dan yang mana lebih utama, dalamilah fiqh ini. Jika tidak mampu,maka cukup dengan bertanya pada ulama (ulama’ kata jamak untuk alim) yang mendalami dan memahami fiqh ini. Tetapi apa yang lebih ana nak tekankan adalah untuk mendalami ilmu agama sedalam yang mungkinkerna dari pemerhatian ana masih ada yang jahil tentang ibadah fardhu sekalipun. Misalan yang ana berikan, melayan para tetamu yang bertandang di rumah adalah lebih utama dari solat sunat rawatib Ba’diyah.Hal ini kerana menjaga sillaturahim itu lebih penting dan diutamakan. Solat sunat rawatib Ba’diyah itu boleh dilaksanakan selepas melayan mereka sekiranya masih ada masa.

Wahai mawar dan lebah yang dipuji kerna keindahanmu,
 Lihat, bukankah Islam itu mudah?
Jadi mengapa kita menganggap ia menyusahkan sedangkan kita sendiri tidak mendalami Islam itu sepenuhnya?

                Apa yang ana nak simpulkan adalah tidak bermakna bila kita melaksanakan ibadah fardhu,kita tidak boleh melaksanakan ibadah sunat. Apa yang perlu kita telitikan adalah masa, suasana serta keutamaan amal ibadat itu. Kita kena  pastikan, sama ada kita mempunyai masa yang cukup untuk beribadat dengan ibadat nawafil, suasana tatkala itu yang mengizinkan atau tidak, dan yang paling utama adalah keutamaan antara ibadah-ibadah itu sendiri.
                Sesungguhnya ibadat fardhu itu ditunaikan atas kewajipan kita pada Allah SWT,sebagai bukti ketaatan kita padaNya Al-Khaliq. Dan ibadah nawafil pula adalah sebagai bukti kita ingin cinta Allah dan kita juga mencintaiNya, di samping fadhilatnya yang mampu menampung kekurangan dalam ibadah fardhu kita.

Jangan biarkan api semangatmu terpadam,
Untuk melakukan ibadah sampingan demi meraih kemanisan iman,
Jangan biarkan bisikan syaitan melingkari qalbumu,
Sehingga hatimu berbicara bahwa sudah mencukupi amalku dengan ibadah fardhuku,
Jangan biarkan jahilmu terus tarikmu ke bawah,
Sedangkan kamu mampu menjadi lebih baik berkat ilmumu,taqwamu,imanmu dan amalmu.
Nasihatku yang tidak seberapa ini,
Kepada bebenih yang masih berusaha untuk mengeluarkan tunasnya,
Kepada lelebah yang masih mencari-cari manisnya madu dikurniaNya,
Beribadatlah kamu sebagaimana engkau tiada harapan untik beribadat esok hari,
Beribadatlah kamu sebagaimana ilmu yang engkau ada,
Beribadatlah kamu dengan bimbingan Al-Quran dan Sunnah serta pewaris Nabi,
Janganlah kamu beribadat dengan masih ada kejahilan menyelubungimu,
Sehingga ibadah fardhu dilupakan,
Ibadah nawafil dilalaikan.
[AraniAnwah]


Wallahualam.







No comments:

Post a Comment